WAKAYAMA, 25 April- Kesemua empat ekor panda gergasi yang dipinjamkan ke sebuah zoo di barat Jepun akan dihantar pulang ke China akhir Jun ini, lebih awal daripada tarikh tamat perjanjian pajakan, menurut pengendali zoo itu pada Khamis.
Menurut agensi berita Kyodo, Rauhin yang berusia 24 tahun serta tiga anaknya -- Yuihin (8 tahun), Saihin (6 tahun) dan Fuhin (4 tahun) -- akan berlepas dari taman tema Adventure World di Shirahama, Wilayah Wakayama ke habitat baharu mereka di Pangkalan Penyelidikan dan Pembiakan Panda Gergasi di Chengdu, Wilayah Sichuan, China.
Adventure World memulakan program kerjasama pembiakan panda dengan pusat penyelidikan China itu pada 1994 dan sebelum ini menjadi tempat tinggal kepada seekor panda jantan, Eimei, yang tiba di Jepun secara pinjaman pada tahun yang sama.
Sepanjang berada di Wakayama, Eimei mendapat 10 anak bersama Rauhin dan enam lagi dengan seekor panda betina lain.
Eimei dihantar pulang ke China pada 2023 dan meninggal dunia awal tahun ini.
Dengan kepulangan Rauhin dan anak-anaknya, hanya dua ekor panda gergasi akan tinggal di Jepun.
Kedua-dua panda itu kini ditempatkan di Zoo Ueno, Tokyo, yang menerima panda pertama dari China pada 1972 sempena memperingati pemulihan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. -BERNAMA-KYODO