WASHINGTON, 25 April- Pentadbiran Donald Trump belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pelarasan tarif terhadap import kenderaan, meskipun sedang mempertimbangkan untuk menyelaraskan pertindihan antara pelbagai jenis cukai sedia ada, menurut White House.
Laporan Financial Times minggu ini mendakwa Trump merancang untuk mengecualikan alat ganti kenderaan daripada tarif ke atas barangan China yang dikenakan susulan dakwaan penglibatan negara itu dalam rantaian bekalan fentanyl serta pengecualian daripada tarif ke atas import besi dan aluminium.
Namun, jurucakap White House, Kush Desai menegaskan: "Tiada keputusan akhir telah dibuat oleh White House mengenai sebarang kemungkinan perubahan terhadap tarif kenderaan."
Sumber White House menjelaskan pentadbiran kini meneliti kaedah bagi "menyelaraskan pertindihan" antara tarif sebanyak 25 peratus ke atas import kenderaan dan logam serta tarif yang dikenakan berkaitan isu fentanyl. Bagaimanapun, tiada butiran lanjut diberikan.
Langkah mengenakan tarif secara meluas sejak Trump kembali memegang jawatan presiden awal tahun ini, diikuti pengecualian sebahagian barangan seperti komponen auto dan logam tertentu didakwa telah mencetuskan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan.
Beberapa syarikat yang paling terkesan akibat kadar cukai tinggi terhadap produk China – sesetengahnya mencecah tambahan 145 peratus – telah menghentikan import sementara waktu bagi mengelakkan beban cukai.
Setakat ini, pihak industri giat melobi agar presiden mempertimbangkan semula dasar tersebut.
Sektor automotif tidak terjejas oleh "tarif timbal balik" Trump yang melibatkan cukai 10 peratus ke atas barangan dari kebanyakan rakan dagang utama dan tambahan 125 peratus bagi barangan dari China. Namun, sektor ini masih tertakluk kepada tarif khusus dan cukai berkaitan fentanyl yang dikenakan awal tahun ini.
Ketika ditanya siapakah yang paling mempengaruhi keputusan dasar perdagangan Presiden, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent berkata Trump sering merujuk kepada pasukan ekonomi serta komuniti perniagaan.
"Presiden kerap menerima kunjungan pemimpin korporat. Kami telah bertemu CEO Walmart, Target dan Home Depot," kata Bessent sambil menambah bahawa wakil pengeluar kenderaan utama Jerman turut mengadakan pertemuan dengan pentadbiran Trump. -AFP