BRASILIA, 5 Mei- Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro dibenarkan keluar dari hospital pada Ahad, tiga minggu selepas menjalani pembedahan abdomen susulan komplikasi akibat serangan tikaman yang dialaminya tujuh tahun lalu.
Bolsonaro, 70, mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan atas apa yang disifatkannya sebagai "keajaiban" dan menyatakan beliau pulang ke rumah dalam keadaan lebih sihat, menurut catatan di platform X.
Pembedahan pada 13 April lalu bertujuan merawat halangan usus dan merupakan yang terkini daripada beberapa siri pembedahan susulan serangan ketika kempen pilihan raya pada 2018.
Beliau menghabiskan 17 hari di unit rawatan rapi (ICU) dan menerima pemakanan melalui tiub sebelum dipindahkan ke wad biasa pada Rabu lalu.
Pakar kardiologi Leandro Echenique memaklumkan Bolsonaro berada dalam keadaan sangat baik dan boleh kembali menjalani kehidupan normal secara berperingkat, namun menegaskan risiko komplikasi semula tidak dapat dielakkan sepenuhnya.
Walaupun Bolsonaro berhasrat menyertai perhimpunan pada Rabu ini di Brasilia bagi menyokong gesaan pengampunan terhadap penyokongnya yang terlibat dalam rusuhan 8 Januari 2023, doktor menasihatkan beliau supaya tidak hadir secara fizikal.
"Kami telah menasihatkan agar beliau tidak menyertainya," kata Ketua Pembedahan Klinik DF Star, Claudio Birolini, seperti dilaporkan media tempatan.
Bolsonaro kini berdepan perbicaraan selepas Mahkamah Agung Brazil memutuskan beliau perlu didakwa kerana dituduh terlibat dalam plot menggagalkan keputusan pilihan raya 2022 yang dimenangi Presiden Luiz Inacio Lula da Silva. -AFP