fb fb fb fb fb

BoE dijangka umum kenaikan kadar faedah terbesar Britain dalam lebih tiga dekad

(Orang ramai berjalan melepasi Bank of England di daerah kewangan City of
London di London, Britain, 27 Oktober 2022/REUTERS)

LONDON, 3 November- Bank of England (BoE) dijangka menaikkan kadar faedah utamanya hari ini dengan jumlah terbesar sejak 1989 dalam usaha meredakan inflasi Britain yang melangit.

Susulan mesyuarat terkini, BoE dilihat menaikkan kos pinjaman sebanyak 0.75 mata peratusan kepada 3%, menurut konsensus pasaran, yang akan menjadi paras tertinggi sejak krisis kewangan global 2008.

Sesetengah penganalisis bagaimanapun meramalkan kenaikan satu mata peratusan, juga paras tertinggi dalam 33 tahun.

Keputusan BoE dijangka menambah krisis kos sara hidup bagi berjuta-juta rakyat Britain apabila kenaikan oleh bank pusat menyaksikan pemberi pinjaman runcit menaikkan kadar faedah ke atas pinjaman mereka sendiri.

Pembayaran balik gadai janji UK telah melonjak dalam beberapa minggu kebelakangan ini juga selepas bajet yang didorong oleh hutang perdana menteri Britain sebelum ini, Liz Truss menakutkan pasaran, memaksanya meletak jawatan dan mencetuskan pembelian kecemasan bon kerajaan UK oleh BoE.

Penggantinya Rishi Sunak kemudiannya cuba meredakan pasaran dengan membayangkan kenaikan cukai dalam belanjawan baharu pada 17 November, walaupun langkah sedemikian menjejaskan ekonomi Britain.

"Saya rasa semua orang tahu kita menghadapi prospek ekonomi yang mencabar dan keputusan sukar perlu dibuat," kata Sunak, bekas menteri kewangan UK, kepada parlimen semalam.

(Bank of England menaikkan kos pinjaman sebanyak 0.75 mata peratusan kepada 3%,
 menjadi paras tertinggi sejak krisis kewangan global 2008/REUTERS)

Inflasi tahunan Britain berada di atas 10 peratus, paras tertinggi dalam 40 tahun, berikutan kenaikan harga makanan dan bil tenaga.

Semalam, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan kenaikan keempat berturut-turut sebanyak 0.75 mata peratusan, menjadikan kadar pinjaman penanda arasnya kepada 3.75%-4.0%.

Walaupun berpandangan kenaikan kadar faedah selanjutnya "sesuai" untuk mengurangkan inflasi, Fed juga membuka pintu kepada kenaikan yang lebih kecil. -AFP

Media Baharu