INDIA, 8 Februari- Seekor bison betina yang terperangkap dan terjatuh ke dalam perigi sedalam 50 kaki telah diselamatkan.
Operasi selama empat jam itu dibuat pasukan Hutan Tamil Nadu berhampiran Banjaran Manaparai di Kampung Nadupatti, selatan India, baru-baru ini.
Doktor haiwan, Dr Kalaivanan berkata pihaknya menarik haiwan seberat kira-kira 1,300 paun itu menggunakan kren.
"Kami mengikat tanduk dan badan bison dengan tali supaya ia tidak lemas di dalam perigi berkenaan. Haiwan tersebut turut diberi ubat penenang. Kami kemudian melepaskan semula bison selepas melihat ia kembali stabil," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Kalavainan, kejadian sedemikian adalah perkara biasa di kawasan pertanian.
"Insiden berkenaan berlaku selepas ketiadaan sekatan di kebanyakan perigi. Kami mengesyorkan petani agar membina penghalang sekurang-kurangnya empat ke lima kaki untuk mengelakkan haiwan atau manusia terjatuh ke dalam perigi," katanya. - REUTERS