BEIRUT, 8 Februari- Usaha berterusan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam serangan di Gaza menunjukkan matlamatnya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, kata Pegawai Kanan Kumpulan Hamas, Osama Hamdan.
Jelas Osama, pihaknya akan mengambil semua langkah dalam melindungi penduduk Palestin.
"Kami akan melakukan segala usaha untuk melindungi rakyat kami, sama ada melalui penentangan di lapangan atau... usaha politik untuk menghentikan pencerobohan," kata Osama kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Terdahulu, Netanyahu menolak gencatan senjata di Gaza, selain mengarahkan rejim Zionis melakukan serangan di bandar Rafah.
Lebih sejuta rakyat Palestin mencari perlindungan di bandar berkenaan.
Komen pemimpin Israel itu melemahkan harapan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken untuk gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan.
Seorang pegawai Mesir memberitahu AFP bahawa Mesir dan Qatar akan mengadakan perbincangan di Kaherah bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian di Gaza.
Osama berkata delegasi Hamas yang diketuai oleh pegawai kanan Khalil al-Hayya akan menuju ke Kaherah dalam usaha rundingan itu. - AFP