WASHINGTON, 1 Jun - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Jumaat membentangkan tiga fasa cadangan untuk gencatan senjata di Gaza sebagai balasan untuk pembebasan tebusan, dengan berkata "sudah tiba masanya untuk perang ini tamat" sekali gus mendapat reaksi awal positif daripada Hamas.
Fasa pertama, melibatkan gencatan senjata selama enam minggu di mana tentera Israel akan berundur dari "semua kawasan berpenduduk" di Gaza, beberapa tebusan, termasuk warga emas dan wanita, akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin, orang awam Palestin akan kembali dan 600 trak sehari akan masuk membawa bantuan kemanusiaan ke dalam kawasan yang musnah.
Fasa kedua, dengan jangka masa yang tidak ditentukan, Hamas dan Israel akan berunding beberapa syarat untuk menamatkan permusuhan secara kekal, dengan gencatan senjata dilanjutkan selagi perbincangan diteruskan.
Manakala fasa ketiga akan merangkumi rancangan pembinaan semula ke atas Gaza.
“Sudah tiba masanya untuk perang ini ditamatkan dan harinya akan bermula,” kata Biden untuk menghentikan konflik di Gaza, yang kini memasuki bulan kelapan.
Hamas dalam satu kenyataan balas, positif terhadap cadangan Biden dengan mengatakan mereka bersedia untuk terlibat "secara positif dan membina" dengan sebarang cadangan berdasarkan beberapa faktor iaitu gencatan senjata kekal, pengunduran tentera Israel, pembinaan semula Gaza, pengembalian mereka yang dipindahkan dan perjanjian pertukaran banduan sekiranya Israel "mengumumkan dengan jelas komitmen terhadap perjanjian tersebut".
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata beliau telah memberi kuasa kepada pasukan perundingnya untuk membentangkan perjanjian itu, "sambil menegaskan bahawa perang tidak akan berakhir sehingga semua matlamatnya tercapai, termasuk mengembalikan semua tebusan dan pemusnahan tentera dan Hamas.
Dalam pada itu, tentera Israel berkata mereka telah menamatkan operasi di kawasan Jabalia di utara Gaza selepas pertempuran sengit selama beberapa hari.
Rundingan yang dimediasi oleh Mesir, Qatar, dan lain-lain negara untuk mengatur gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah berulang kali terhenti dengan setiap pihak menyalahkan satu sama lain atas kekurangan kemajuan terhadap proses gencatan senjata.- REUTERS