fb fb fb fb fb

Palestin puji sokongan China-Arab untuk gencatan senjata dan keahlian PBB

Palestin memuji kenyataan bersama China-Arab yang dikeluarkan pada Persidangan Menteri ke-10 Forum Kerjasama China-Negara Arab di Beijing / Foto Reuters

RAMALLAH, 1 Jun - Palestin memuji kenyataan bersama China-Arab yang dikeluarkan pada Persidangan Menteri ke-10 Forum Kerjasama China-Negara Arab di Beijing.

Memetik sumber agensi berita Palestin (WAFA),jurucakap Presiden, Nabil Abu Rudeineh berkata ia sejajar dengan dengan pendirian rasmi Palestin.

Antara pendirian Palestin adalah menuntut pencerobohan Israel dihentikan serta-merta, melengkapkan pengunduran Israel dari Gaza, penghantaran bantuan tanpa gangguan ke seluruh Gaza dan pemberhentian serangan Israel di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Beliau menyatakan bahawa sokongan daripada negara-negara lain harus mendorong mereka yang menyokong pendudukan untuk mempertimbangkan semula kedudukan mereka dan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Kenyataan China-Arab itu menggesa gencatan senjata segera di Gaza, menentang perpindahan paksa rakyat Palestin, menyokong usaha Palestin untuk keanggotaan penuh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan menyokong penyelesaian kepada isu Palestin berdasarkan penyelesaian dua negara.

Ia juga mengutuk veto Amerika Syarikat terhadap hak Palestin dan menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk menerima pakai resolusi mengikat untuk gencatan senjata segera.

Selain itu, ia mengecam veto Amerika yang menghalang keahlian penuh Palestin dalam PBB.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN