fb fb fb fb fb

Berpuluh-puluh maut dalam kebakaran pangsapuri Hanoi

(Pasukan penyelamat membawa mangsa berikutan kebakaran besar di blok pangsapuri
di Hanoi/Agensi Berita Vietnam/AFP)

HANOI, 13 September- Berpuluh-puluh orang maut dalam kebakaran di sebuah blok pangsapuri di ibu negara Vietnam, Hanoi, lapor media kerajaan Rabu.

Kebakaran bermula sejurus sebelum tengah malam pada hari Selasa (1700 GMT) di tingkat tempat letak kereta bangunan 10 tingkat itu, kawasan yang penuh dengan motosikal, kata saksi.

Lebih 100 orang berjaya menyelamatkan diri atau ditarik keluar dari bangunan oleh penyelamat.

"Pihak berkuasa mengejarkan 54 mangsa ke hospital, termasuk berpuluh-puluh yang maut", lapor agensi berita rasmi Vietnam.

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak antara yang maut, menurut portal berita dalam talian, Viettimes.

"Saya mendengar banyak jeritan meminta tolong. Kami tidak dapat banyak membantu mereka," kata Hoa, seorang wanita yang tinggal berhampiran blok itu dan hanya memberikan satu nama.

"Pangsapuri itu ditutup dengan tiada laluan melarikan diri, mustahil untuk mangsa keluar," katanya kepada AFP di tapak kejadian.

Gambar yang diambil jurufoto AFP di tempat kejadian semalaman menunjukkan api dan asap berkepul-kepul dari balkoni berpalang.

Kebakaran padam pada pagi Rabu, tetapi penyelamat masih bergelut selama berjam-jam selepas itu untuk mengakses bangunan, yang terletak di lorong sempit di kawasan perumahan di barat daya Hanoi.

Balkoni kecil kompleks itu dikelilingi palang besi, dengan blok apartmen hanya mempunyai satu pintu keluar dan tiada tangga kecemasan di bahagian luar.

Kira-kira 150 orang tinggal di kompleks itu, kata pihak berkuasa.

Seorang lagi saksi, Huong, berkata seorang budak lelaki dicampak dari tingkat tinggi untuk membantunya melarikan diri daripada api.

"Saya hendak tidur apabila terhidu sesuatu. Saya keluar dan melihat api," katanya.

"Asap ada di mana-mana. Ada budak kecil tercampak dari tingkat tinggi, saya tidak tahu sama ada terselamat atau tidak walaupun orang menggunakan tilam untuk menangkapnya," katanya.

(Orang ramai melihat kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri di Hanoi/AFP)

Jiran memaklumkan beberapa yang lain melompat dari blok itu.

"Ada seorang wanita pertengahan umur melompat turun ke teres saya di sini. Dia memukul lengannya dan patah. Seorang lagi turut terjun ke bawah dan patah kaki," kata Dao To Nga.

"Seorang kanak-kanak dimasukkan ke dalam bakul plastik dan diturunkan".

Ada yang dapat melarikan diri dari bangunan menggunakan bumbung.

"Atas bumbung keluarga saya membantu 14-15 orang melarikan diri," katanya.

Seorang mangsa yang terselamat, Nguyen Thi Minh Hong, memberitahu AFP bahawa keluarganya menunggu di pangsapuri tingkat tujuh mereka di belakang bangunan selama lima jam sebelum bantuan tiba.

Perdana Menteri Pham Minh Chinh, yang melawat tapak itu pada hari Rabu, mengarahkan siasatan dijalankan. -AFP

Media Baharu