fb fb fb fb fb

Kabinet Jepun dirombak, bilangan anggota wanita ditambah

(Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida/AFP)

TOKYO, 13 September- Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menamakan menteri luar dan menteri pertahanan baharu dalam rombakan besar-besaran yang meningkatkan bilangan wanita dalam kabinet kepada lima orang.

Menteri Luar, Yoshimasa Hayashi digantikan oleh Yoko Kamikawa, seorang daripada lima wanita dalam kabinet baharu, kata Ketua Setiausaha Kabinet dan jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno kepada pemberita.

Kamikawa, 70, adalah menteri luar wanita pertama Jepun dalam tempoh 19 tahun.

Lima tahun lalu beliau merupakan menteri kehakiman ketika Jepun menghukum mati pemimpin dan ahli kultus, Aum Shinrikyo kerana peranan mereka dalam serangan sarin kereta api bawah tanah Tokyo yang membawa maut pada 1995.

Minoru Kihara, 54, pula menggantikan Yasukazu Hamada sebagai menteri pertahanan, ketika Jepun menghadapi ancaman semakin meningkat dari Korea Utara dan hubungan yang merosot dengan China.

Menurut tinjauan yang dikeluarkan hari ini oleh penyiar nasional NHK, sokongan orang ramai terhadap kerajaan Kishida hanya 36% berbanding 43% yang menolak.

Ia susulan kepada tinjauan pendapat Yomiuri bulan lalu yang menunjukkan majoriti pengundi tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan menangani inflasi.

Ahad lalu Kishida mengumumkan bahawa beliau merancang "melaksanakan pakej ekonomi yang berani" untuk menangani kesan kenaikan harga.

Dalam pada itu Shunichi Suzuki kekal sebagai menteri kewangan dan Yasutoshi Nishimura terus diberi kepercayaan menerajui Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri. -AFP

(Cik Yoko Kamikawa ialah bekas menteri kehakiman/REUTERS)

Media Baharu