fb fb fb fb fb

Aktiviti buru saham pacu FBM KLCI ditutup lebih tinggi

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 13 September- Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan Rabu dengan lebih positif serta dipacu oleh minat terhadap saham berharga rendah walaupun aktiviti berhati-hati menguasai pasaran.

Kalangan pelabur terus memberi tumpuan terhadap pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini yang bakal memberi gambaran serta turut mempengaruhi prospek dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).

Pada 5.00 petang, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.15 mata untuk ditutup mencecah paras tertinggi harian pada 1,453.54.

Sewaktu dibuka, indeks penanda aras tersebut susut 6.36 mata kepada 1,444.81 daripada 1,453.39 pada akhir dagangan semalam.

Sentimen pasaran pula bercampur-campur dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 480 berbanding 405 manakala 440 kaunter tidak berubah dan 1,009 lain tidak didagangkan.

Jumlah dagangan susut kepada 2.51 bilion unit bernilai RM1.88 bilion daripada 2.88 bilion unit bernilai RM1.99 bilion, semalam.

Kalangan pelabur terus mempamerkan minat terhadap saham-saham yang dinilai rendah dalam sektor minyak dan gas susulan kenaikan harga minyak yang mencecah paras tertinggi hampir 10 bulan berikutan kekurangan bekalan.

Trend sama turut membabitkan industri lain seperti perladangan, penjagaan kesihatan, tenaga, teknologi dan pembinaan.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata lebih ramai pelabur yang sebaliknya memilih untuk ‘tunggu dan lihat’ menjelang pengumuman berkaitan Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada malam ini.

Turut menjadi tumpuan adalah kebimbangan berkaitan rancangan pelan rangsangan China yang dilihat lebih perlahan daripada dijangkakan.

“Berikutan itu, pasaran tempatan kekal berhati-hati dalam masa terdekat ini kerana kebimbangan berkaitan kenaikan kadar faedah AS selain memerlukan lebih banyak pemangkin untuk bergerak lebih jauh.

“Pada masa sama, pelabur juga berharap AS tidak akan menaikkan kadar faedah. Andai itu yang berlaku, kita boleh menjangkakan pasaran akan menjadi lebih positif,” katanya.

Ramai pihak menjangkakan pihak Fed akan mengekalkan kadar tersebut pada mesyuarat bulan ini dengan kemungkinan kenaikannya dilaksanakan pada November depan.

(Aktiviti buru saham pacu FBM KLCI ditutup lebih tinggi)

“Sehubungan itu, adalah dijangkakan FBM KLCI kekal dalam keadaan tidak berubah untuk sementara ini, kecuali terdapat beberapa pemangkin baharu yang dapat menyuntik perubahan,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia seperti Petronas Chemicals melonjak 22 sen kepada RM7.22, Tenaga Nasional naik 11 sen pada RM9.95, Sime Darby Plantations meraih lima sen kepada RM4.36 dan Maybank susut dua sen kepada RM9.12.

Saham aktif menyaksikan Capital A naik lapan sen kepada 97 sen, Berjaya Land menokok 2.5 sen kepada 29.5 sen dan Armada meraih 1.5 sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBMT 100 meningkat 5.46 mata kepada 10,385.83, Indeks FBM Emas menambah 5.91 mata pada 10,706.01, Indeks FBM Emas Shariah meraih 56.36 mata kepada 10,917.33 dan Indeks FBM 70 meningkat 26.20 mata kepada 14,088.35.

Indeks FBM ACE bagaimanapun susut 21.65 mata kepada 5,144.30

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 105.98 mata kepada 16,330.94 manakala Indeks Tenaga menokok 24.71 mata kepada 880.41, Indeks Perladangan melonjak 44.63 mata kepada 6,928.91 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.44 mata kepada 172.17. -BERNAMA

Media Baharu