fb fb fb fb fb

330 juta kanak-kanak masih dicengkam kemiskinan tegar

(Seorang kanak-kanak bekerja di Abidjan, Ivory Coast/File AFP) 

WASHINGTON, 13 September- Pandemik COVID-19 menyebabkan kelembapan mendadak dalam usaha menamatkan kemiskinan kanak-kanak di seluruh dunia, dengan 333 juta kanak-kanak masih hidup dalam kemiskinan tegar, menurut laporan yang diterbitkan Rabu.

Laporan daripada Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Bank Dunia mendapati, sekitar satu daripada enam kanak-kanak masih hidup dengan kurang daripada US$2.15 sehari, menurut laporan itu.

"Krisis yang meruncing, kesan daripada COVID-19, konflik, perubahan iklim dan kejutan ekonomi, telah menghalang kemajuan, dan menyebabkan berjuta-juta kanak-kanak berada dalam kemiskinan tegar," kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell dalam satu kenyataan.

Dapatan laporan itu membayangkan cabaran besar yang perlu diatasi bagi mencapai sasaran membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan kanak-kanak menjelang 2030.

"Dunia yang menyaksikan 333 juta kanak-kanak hidup dalam kemiskinan tegar dinafikan bukan sahaja daripada keperluan asas tetapi juga maruah, peluang atau harapan -- tidak boleh ditoleransi," kata Pengarah Global Bank Dunia untuk Kemiskinan dan Ekuiti, Luis-Felipe, Lopez-Calva, berkata dalam satu kenyataan.

Laporan itu mendapati bahawa 40% kanak-kanak di sub-Sahara Afrika masih hidup dalam kemiskinan tegar peratusan tertinggi di mana-mana sahaja di dunia.

Beberapa faktor termasuk pertumbuhan penduduk yang pesat, COVID-19 dan bencana berkaitan iklim telah memburukkan lagi kemiskinan kanak-kanak yang melampau di sub-Sahara Afrika dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun semua wilayah lain di dunia telah mengalami penurunan yang berterusan.

Bank Dunia dan UNICEF menyeru negara-negara anggota supaya mengutamakan inisiatif menangani kemiskinan kanak-kanak dan menggubal pelbagai langkah termasuk pengembangan program faedah kanak-kanak sejagat. -AFP

(330 juta kanak-kanak masih dicengkam kemiskinan tegar/File UNICEF)

Media Baharu