VALENCIA, 10 November- Berpuluh-puluh ribu orang melakukan tunjuk perasaan di bandar Valencia timur Sepanyol berhubung pengendalian pihak berkuasa terhadap banjir dahsyat di negara itu yang mengorbankan lebih 220 orang.
Ia merupakan salah satu bencana alam terburuk di Eropah dalam beberapa dekad.
Penunjuk perasaan memenuhi pusat Valencia menuntut peletakan jawatan pemimpin kerajaan wilayah Carlos Mazon.
"Tangan kami berlumuran lumpur, tangan kamu berlumuran darah," sepanduk yang dibawa penunjuk perasaan.
Sementara itu beberapa penunjuk perasaan yang lain membuang but kotor dan menampal lumpur di luar bangunan.
Penduduk di kawasan yang dilanda banjir menuduh Mazon mengeluarkan amaran terlalu lewat, pada 29 Oktober kira-kira pukul 8.00 malam. Ia selepas air mula memasuki ke kawasan pekan dan kampung berhampiran.
Pemimpin Valencia itu berkata beliau akan mengeluarkan penggera lebih awal jika pihak berkuasa dimaklumkan tentang keseriusan keadaan.
Bagaimanapun Mazon tidak memberikan sebarang komen kepada Reuters untuk mendapatkan maklum balas.
"Kami menunjukkan kemarahan terhadap pengurusan buruk terhadap bencana ini. Ia telah menjejaskan begitu ramai penduduk," kata Presiden Accio Cultural del Pais Valenciano, Anna Oliver.
Walaupun demonstrasi itu sebahagian besarnya aman, polis mendakwa ada penunjuk perasaan melontar batu ke arah bangunan majlis bandaraya menyebabkan kerosakan kecil.
Berikutan beberapa amaran ribut yang dikeluarkan perkhidmatan cuaca negara bermula 25 Oktober lalu, beberapa majlis perbandaran dan badan tempatan meningkatkan penggera lebih awal daripada kerajaan wilayah.
Operasi beberapa dewan bandar raya menggantung aktiviti, menutup kemudahan awam dan menyuruh orang ramai untuk terus berada di rumah.
Perkhidmatan cuaca AEMET juga menaikkan tahap amaran hujan lebat di kawasan itu kepada amaran merah.
Dalam pada itu hampir 80 individu masih hilang berikutan banjir teruk si Sepanyol. Ia antara banjir paling teruk yang melanda negara Eropah selain banjir di Portugal pada tahun 1967 yang meragut kira-kira 500 nyawa.- REUTERS