BEIJING, 10 November- China dan Indonesia bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam sektor utama, termasuk litium, kenderaan tenaga baharu, tenaga hijau dan pelancongan, menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu.
Kenyataan itu susulan pertemuan antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, yang melawat China hingga 10 November.
Negara tembok besar itu merupakan negara pertama yang dilawati Prabowo sejak memegang jawatan bulan lalu.
Prabowo memenangi pilihan raya presiden Indonesia pada Februari, juga memilih China sebagai negara pertama melawat sebagai presiden terpilih.
Ia sekali gus menekankan komitmen Jakarta dalam memperkukuh hubungan strategik dengan Beijing.
"China dan Indonesia akan bekerjasama untuk memacu pembangunan global, meneroka potensi kerjasama dalam bidang seperti kenderaan tenaga baharu, bateri litium dan fotovoltaik selain meneroka peluang dalam ekonomi digital dan sektor pembangunan hijau," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua negara akan mengukuhkan perkongsian peralihan tenaga global dan bersama-sama memastikan keselamatan bekalan mineral global dan rantaian industri, tambah kenyataan itu.
Sementara itu pengeluar bahan bateri China GEM menandatangani perjanjian dengan PT Vale Indonesia untuk membina loji larut lesap asid tekanan tinggi di Sulawesi Tengah, untuk mendapatkan sumber nikel, menurut pemfailan Shenzhen. Prabowo menyaksikan pemeteraian itu.
Industri nikel di Indonesia merupakan pengeluar logam terbesar di dunia dan ia didominasi oleh syarikat China seperti Tsingshan Holding Group dan Zhejiang Huayou Cobalt.
Ia merupakan usaha untuk memulihkan keadaan ekonomi dan melepasi tahap pelancongan pra-pandemik.
Kedua-dua negara juga akan memperkenalkan langkah visa baharu, termasuk visa jangka panjang berbilang kemasukan, dan menggalakkan lebih banyak penerbangan terus dan destinasi berdasarkan permintaan.
Semasa lawatan Prabowo, kedua-dua pihak menandatangani beberapa perjanjian kerjasama termasuk dalam bidang perumahan dan eksport kelapa segar dari Indonesia ke China.- REUTERS