BAGHDAD, 13 Oktober - Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian berkata tindakan membentuk barisan hadapan baharu dalam konflik Palestin-Israel bergantung kepada tindakan Israel di Gaza.
Iran yang didakwa menyokong Hamas dan kumpulan pejuang Asia Barat menafikan sebarang penglibatan negara itu dalam serangan pejuang Hamas terhadap musuh ketatnya, Israel pada Sabtu lalu.
"Terdapat pegawai beberapa buah negara yang menghubungi kami (Iran) bertanyakan kemungkinan wujudnya barisan baharu menentang Israel dibentuk di rantau ini", kata Hossein Amir semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia al-Sudani pada Khamis.
"Kami (Iran) menegaskan segala-galanya bergantung kepada tindakan rejim Zionis di Gaza", katanya, menurut Kementerian Luar Iran.
"Malah, jenayah perang Israel berterusan dan tiada sesiapa pun di rantau (Asia Barat) ini meminta kebenaran kami (Iran) untuk membuka barisan hadapan baharu", ujarnya lagi.
Pada Khamis, Hossein Amir tiba di Beirut, ibu negara Lubnan; disambut beberapa pasukan pejuang pro-Iran seperti Hezbollah dan Hamas.
Menteri Luar Iran tersebut dijadualkan bertemu pegawai tertingi Lubnan sebelum bertolak ke Damsyik.
Bercakap dari Lapangan terbang Beirut, diplomat tertinggi Iran itu menegaskan sekutu Iran yang dikenali sebagai pakatan 'Paksi' akan bertindak balas sekiranya serangan Israel di Gaza meningkat.
"Pakatan 'Paksi' akan bertindak balas sekiranya jenayah perang terhadap Palestin dan Gaza tidak dihentikan', katanya kepada pemberita.
Sekurang-kurangnya, 1,200 penduduk Israel, warga asing dan penduduk tetap negara haram itu terbunuh dalam serangan yang dilancarkan pejuang Hamas pada Sabtu lalu.
Di Gaza pula, Kementerian kesihatan Palestin melaporkan 1,417 rakyatnya terbunuh akibat serangan balas yang dilancarkan tentera Israel di kawasan pinggir pantai.
Para pemimpin Barat dan sekutu Israel sebelum ini yang mencurigai tindak-tanduk Iran memberi amaran kepada Tehran agar tidak campur tangan dalam peperangan berkenaan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Rabu dilaporkan memberi amaran kepada Iran agar 'berhati-hati'.
Sementara itu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi dalam panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Syria, Bashar Al-Asad pada Rabu memohon agar semua negara Arab dan Islam bagi mencari titik pertemuan dan kerjasama serius bagi menghentikan jenayah rejim Zionis terhadap Palestin-AFP
(FOTO AFP)