fb fb fb fb fb

Belon pengintip kedua China didakwa dikesan di Amerika Latin

(FOTO AFP)

WASHINGTON, 4 Februari- Satu lagi belon pengintip China dikesan di Amerika Latin, semalam sehari selepas belon yang sama dilihat di ruang udara Amerika Syarikat (AS).

Perkara itu sekali gus menyebabkan lawatan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken ke Beijing dibatalkan.

Menurut Jabatan Pertahanan AS (Pentagon), belon itu dilihat menuju ke arah timur di tengah AS, tetapi tidak ditembak jatuh atas sebab-sebab keselamatan.

Semalam, jurucakap Pentagon Pat Ryder, berkata pihaknya melihat laporan mengenai belon melintasi Amerika Latin dan menyifatkan ia belon pengawasan China.

Tidak lama sebelum keputusan Blinken membatalkan lawatannya yang bertujuan meredakan ketegangan antara kedua-dua negara, China mengeluarkan kenyataan kekesalan terhadap kehadiran belon pertama dengan menyalahkan angin yang menolak belon ke ruang udara AS.

Bagaimanapun pentadbiran Presiden Joe Biden menyifatkan ia sebagai 'belon pengawasan' yang boleh dikendalikan.

Dalam satu panggilan telefon kepada pegawai kanan China, Wang Yi, Blinken berkata, kehadiran belon pengawasan di ruang udara AS adalah pelanggaran yang jelas terhadap kedaulatan AS dan undang-undang antarabangsa, bahawa ia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Blinken berkata, bagaimanapun AS komited dalam pembabitan diplomatik dengan China dan merancang melawat Beijing apabila keadaan mengizinkan.

"Langkah pertama ialah mengeluarkan aset pengawasan dari ruang udara kami," kata Blinken.

Sementara itu, menurut agensi berita China Xinhua, Wang berkata, kedua-duanya membincangkan insiden itu dengan tenang dan profesional.

"China adalah negara yang bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa dengan ketat.


(Pentagon mengesahkan sedang menjejaki belon pengintip China yang kelihatan sedang terbang
di kawasansenjata nuklear yang sangat sensitif/AFP)

"Kami tidak menerima sebarang spekulasi dan gembar-gembur tidak berasas," katanya sambil menggesa kedua-dua pihak mengelakkan salah pertimbangan dan menguruskan perbezaan.

Hari ini, Kementerian Luar China mengeluarkan kenyataan mengenai pembatalan Blinken ke Beijing bahawa sesetengah ahli politik dan media di AS menggunakan insiden (belon) sebagai alasan untuk menyerang dan memburuk-burukkan China.

Menurut kenyataan itu, China mahupun AS sebenarnya tidak mengumumkan sebarang lawatan.

"Ia adalah keputusan AS sendiri untuk mengeluarkan maklumat yang berkaitan dan kami menghormatinya," menurut kenyataan itu. -AFP

Berita berkaitan
Belon pengintip: Beijing belum mengesahkan dakwaan AS
Pentagon dakwa belon pengintip China berada di ruang udara AS

Media Baharu