(Amir Khan rai kemenangan pertarungan tali pinggang welterweight WBA tewaskan Luis Collazo/FOTO FILE)
LONDON, 13 Mei - Bekas juara dunia, Amir Khan mengumumkan dia akan bersara daripada sukan tinju selepas mengharungi kerjaya profesional selama 17 tahun.
Petinju Britain berusia 35 tahun itu bersara dengan rekod 34 kemenangan dalam 40 pertarungan.
Pemenang pingat perak Olimpik 2004 itu memenangi 18 pertandingan pertama dalam kerjaya profesionalnya, menjadi salah seorang petinju British terbaik pada zamannya.
Kerjaya Khan berakhir dengan kekalahan apabila dia dihentikan pada pusingan keenam pertarungan menentang rakan senegara, Kell Brook di Manchester pada Februari.
"Sudah tiba masanya untuk menggantung sarung tangan saya. Saya berasa bertuah kerana mempunyai kerjaya yang menakjubkan yang telah menjangkau lebih 27 tahun," tulis Khan di akaun Twitternya.
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pasukan yang luar biasa yang pernah saya bekerjasama dan kepada keluarga, rakan dan peminat saya atas kasih sayang dan sokongan yang mereka tunjukkan kepada saya," katanya.
(Petinju Britain berusia 35 tahun itu bersara dengan rekod 34 kemenangan dalam 40 pertarungan/GOOGLE)
Khan menjadi juara dunia pada 2009, menewaskan Andriy Kotelnik dari Ukraine dalam pertarungan super welerweight WBA dan mengalahkan petinju Amerika Syarikat, Zab Judah untuk menambah tali pinggang IBF dua tahun kemudian. -AFP