fb fb fb fb fb

Bekalan asas Gaza disekat sepenuhnya selama 9 minggu- UNRWA

Foto AFP

GAZA, 5 Mei- Bekalan asas untuk kelangsungan hidup di Gaza telah disekat sepenuhnya selama sembilan minggu berturut-turut, menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

UNRWA menyifatkan keadaan itu sebagai melangkaui batas imaginasi.

Agensi berkenaan menggesa usaha antarabangsa bagi mengelakkan bencana kemanusiaan itu daripada melangkaui tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) turut mengulangi gesaan agar gencatan senjata segera dilaksanakan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Media yang dikendalikan Hamas turut memberi amaran mengenai bencana kemanusiaan yang bakal berlaku susulan penutupan berterusan lintasan dan sekatan ketat yang telah berlanjutan lebih 60 hari.

Menurut kenyataan pejabat itu, rejim Israel terus menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan; menyebabkan lebih 70,000 kanak-kanak dimasukkan ke hospital akibat kekurangan zat makanan yang serius.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa lebih 3,500 kanak-kanak berusia bawah lima tahun berada dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi maut akibat kebuluran.

Israel menghentikan sepenuhnya aliran barangan dan bantuan ke Gaza sejak 2 Mac lalu, susulan penamatan fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang dimeterai bersama Hamas pada Januari.

Fasa kedua perjanjian tersebut masih belum dilaksanakan berikutan tiada kesepakatan antara kedua-dua pihak.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM