fb fb fb fb fb

Skype ditamatkan, pengguna beralih ke Microsoft Teams

Foto REUTERS

WASHINGTON, 5 Mei- Microsoft menamatkan perkhidmatan Skype secara rasmi hari ini selepas hampir 20 tahun beroperasi, bagi memberi tumpuan penuh kepada platform komunikasi korporatnya, Microsoft Teams.

Menurut kenyataan dikeluarkan syarikat itu pada Februari lalu, penamatan Skype merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyusun semula tawaran komunikasi mereka dan mempermudah penggunaan platform kepada pengguna korporat.

Skype, yang diperkenalkan pada 2003, pernah merevolusikan komunikasi global melalui panggilan audio dan video dalam talian serta mencatatkan ratusan juta pengguna pada kemuncaknya.

Namun, platform itu semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan persaingan sengit daripada aplikasi yang lebih mesra pengguna seperti Zoom dan Slack.

Penganalisis menyifatkan kelemahan Skype berpunca daripada teknologi asasnya yang tidak serasi dengan persekitaran mudah alih moden.

Microsoft memaklumkan bahawa pengguna Skype boleh beralih ke Teams secara percuma menggunakan akaun sedia ada mereka, dan semua mesej serta kenalan akan dipindahkan secara automatik ke platform baharu itu.

Microsoft tidak mendedahkan jumlah pengguna Skype terkini namun memberi jaminan bahawa tiada pengurangan tenaga kerja akan dilakukan susulan langkah tersebut.

Syarikat itu memaklumkan Teams kini mencatatkan sekitar 320 juta pengguna aktif setiap bulan.

Microsoft membeli Skype pada 2011 dengan nilai AS$8.5 bilion, menjadikannya pembelian terbesar syarikat berkenaan ketika itu.

Skype mempunyai kira-kira 150 juta pengguna aktif bulanan ketika pengambilalihan dibuat, namun jumlah itu merosot kepada sekitar 23 juta menjelang 2020.- REUTERS

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM