CHILE, 31 Disember - Sebuah keluarga warga Chile menyambut kelahiran bayi lelaki seberat 7.105 kilogram (kg), pada Khamis lalu di sebuah hospital di Curanilahue.
Bagaimanapun, bayi itu terpaksa dipindahkan ke hospital di Concepcion kerana mengalami komplikasi kesihatan.
Sementara itu, si ibu pula masih dirawat di Curanilahue sedang menanti saat untuk disatukan bersama bayinya.
Menurut pakar obstetrik Marcia Venegas, bayi itu mungkin yang terbesar pernah didaftarkan di Chile.
Kelahiran bayi itu mengatasi seorang lagi bayi baru lahir yang mempunyai berat lebih daripada 6kg.
Bayi baru lahir paling berat pernah direkodkan adalah 6.7kg.
"Mengenai kes bayi yang baru lahir dari Curanilahue, dia dimasukkan ke hospital pada 2.15 petang waktu tempatan. Dia dalam keadaan serius tetapi stabil dan dalam pemerhatian di unit rawatan rapi kanak-kanak. Berat bayi lelaki itu ialah 7.105 kilogram dan berukuran 57 sentimeter (cm)," kata Marcia.
Luis Contreras, bapa kepada bayi tersebut akui merasa sedih kerana tidak menyangka bayinya dilahirkan dalam keadaan yang begitu kompleks.
"Bayi itu sepatutnya kecil, dan muat (saiz) untuk memakai lampin yang baru lahir, tetapi bayi itu kelihatan hampir seperti bayi berusia setahun atau lebih, itulah yang mereka (doktor) katakan kepada saya," kata Luis dengan penuh emosi. - REUTERS