(Sebuah jentera beroperasi di tapak bangunan yang rosak selepas gempa bumi, di bandar Harem/FOTO Reuters)
PBB, 14 Februari - Presiden Syria, Bashar al-Assad bersetuju untuk membenarkan penghantaran bantuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke barat laut Syria yang dikuasai pemberontak melalui dua pintu sempadan dari Turkiye selama tiga bulan, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, pada Isnin.
Assad bersetuju untuk membuka sempadan Bab Al-Salam dan Al Ra'ee, kata Guterres dalam satu kenyataan selepas ketua bantuan PBB Martin Griffiths bertemu dengan presiden Syria di Damsyik semalam.
Tindakan itu dibuat seminggu selepas gempa bumi melanda Turkiye dan Syria, mengorbankan lebih 37,000 orang setakat ini.
Menerusi perjanjian itu bermakna PBB kini boleh menggunakan sejumlah tiga pintu sempadan dari Turkiye untuk sampai ke barat laut Syria yang dilanda perang.
PBB sudah mempunyai mandat Majlis Keselamatan untuk menggunakan sempadan Bab al-Hawa. Ia menggunakan laluan itu sejak 2014 untuk menyalurkan bantuan kepada berjuta-juta orang yang memerlukan di barat laut.
Majlis Keselamatan bersetuju dengan mandat itu selepas kerajaan Syria sebelum ini menentang langkah tersebut.
"Memandangkan jumlah korban akibat gempa bumi pada 6 Februari terus meningkat, penghantaran makanan, kesihatan, perlindungan, tempat tinggal, bekalan musim sejuk dan bekalan menyelamatkan nyawa lain kepada semua berjuta-juta orang yang terjejas adalah amat mendesak," kata Guterres.
"Membuka titik persimpangan ini – bersama-sama dengan memudahkan akses kemanusiaan, mempercepatkan kelulusan visa dan memudahkan perjalanan antara hab – akan membolehkan lebih banyak bantuan masuk, lebih cepat," tambahnya.
Bantuan sampai ke kawasan yang dikuasai kerajaan yang dilanda gempa bumi. Bagaimanapun, kawasan barat laut yang dikuasai pemberontak menerima sedikit bantuan.
Sumber dari Hayat Tahrir al-Sham, sebuah kumpulan Islam yang menguasai sebahagian besar wilayah itu, berkata kumpulan tersebut tidak akan membenarkan penghantaran masuk merentasi barisan hadapan dari kawasan yang dikuasai kerajaan.
Kerajaan Syria lama menentang penghantaran bantuan merentasi sempadannya ke kawasan yang dikawal pemberontak, menyifatkannya sebagai pencabulan kedaulatannya.

(Presiden Syria Bashar al-Assad bertemu dengan Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal
Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths di Damsyik/FOTO Reuters)
Ia mengatakan lebih banyak bantuan harus disampaikan merentasi barisan hadapan susulan perang saudara sejak 12 tahun lalu.
Griffiths telah memberi isyarat pada hujung minggu bahawa beliau akan mendapatkan kebenaran Majlis Keselamatan untuk memperluaskan akses dari Turki jika kerajaan Syria enggan bersetuju dengannya.
Duta Perancis ke PBB Nicolas de Riviere berkata jika perjanjian Assad tidak dilaksanakan secara telus dan mampan tanpa halangan maka Majlis Keselamatan harus mempertimbang untuk menerima pakai resolusi; membenarkan akses itu.
Sebarang resolusi memerlukan sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh Rusia, China, Amerika Syarikat, Britain atau Perancis untuk diluluskan.
Duta Besar Syria untuk PBB, Bassam Sabbagh mengesahkan Syria akan menyokong penghantaran bantuan kemanusiaan melalui semua tempat dari dalam Syria atau merentasi sempadan selama tiga bulan.
Beliau memberitahu pemberita, resolusi majlis tidak diperlukan kerana ia adalah perjanjian antara Syria dan PBB. - Reuters