CULIACÁN, 31 Januari- Seramai 19 orang maut dan 22 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dengan sebuah trak yang bertembung di bandar Elota, barat laut Mexico, semalam.
Sementara itu, sembilan yang lain selamat tanpa sebarang kecederaan.
Impak pelanggaran tersebut menyebabkan bas yang dalam perjalanan dari bandar Guadalajara di negeri barat Jalisco ke Los Mochis, Sinaloa telah hangus terbakar.
Peguam negara bahagian negeri Sinaloa, Sara Quinonez berkata, identiti kesemua korban masih tidak diketahui.
Katanya, proses mengenal pasti mangsa juga dijangka mengambil masa berdasarkan keadaan mayat.
Punca kemalangan sedang disiasat pihak berkuasa.
Rempuhan di jalan raya yang membawa maut adalah perkara biasa di Mexico, selalunya disebabkan kelajuan tinggi, keadaan kenderaan yang uzur atau keletihan pemandu. -AFP