fb fb fb fb fb

Barron Trump enggan sertai konvensyen Parti Republikan, tarik diri daripada debut politik

Barron Trump (kiri) bersama bapanya, Donald Trump / AFP

WASHINGTON, 11 Mei- Anak lelaki bongsu Donald Trump, Barron, 18, pada Jumaat mengumumkan berundur daripada debut politiknya dengan menarik diri sebagai perwakilan di konvensyen Parti Republikan, Julai depan.

Barron, kurang mendapat perhatian umum, menjadi tajuk utama global minggu ini apabila dia dikhabarkan akan menjadi ahli terbaru keluarga Trump untuk memasuki arena politik.

Kenyataan dari pejabat ibunya Melania Trump, memaklumkan Barron memutuskan untuk tidak menyertai konvensyen kerana hal tertentu.

"Walaupun Barron berbesar hati kerana dipilih sebagai perwakilan oleh Parti Republikan Florida, dia dengan kesal enggan menyertainya kerana komitmen terdahulu," katanya.

Konvensyen di Milwaukee akan menyaksikan pemahkotaan rasmi Trump sebagai pencabar Republikan kepada Presiden Demokrat Joe Biden, dengan perwakilan dari setiap negeri menetapkan calon mereka untuk pilihan raya pada November.

Barron akan muncul bersama adik-beradiknya Donald Trump Jr., Eric Trump dan Tiffany Trump sebagai sebahagian daripada delegasi Florida.

Barron tinggal di White House sebagai seorang kanak-kanak ketika bapanya menjadi presiden, tetapi telah dilindungi dengan hebat daripada pandangan umum.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE