fb fb fb fb fb

Colombia gesa ICC keluar waran tangkap buat Netanyahu

Presiden Colombia Gustavo Petro / REUTERS

BOGOTA, 11 Mei- Presiden Colombia Gustavo Petro pada Jumaat menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Kerajaan Colombia sebelum ini menyifatkan Netanyahu menlancarkan genosid dalam perangnya di Gaza.

Pemimpin berhaluan kiri yang lantang itu minggu lalu mengumumkan negaranya memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel kerana serangannya di Gaza.

"Netanyahu tidak akan menghentikan pembunuhan beramai-ramai. Itu membayangkan waran tangkap antarabangsa daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa," tulis Petro pada X pada Jumaat.

Beliau menambah, Majlis Keselamatan PBB mesti mula mempertimbangkan penubuhan pasukan pengaman di wilayah Gaza.

Colombia telah menyertai Bolivia, Belize dan Afrika Selatan dalam memutuskan atau menggantung hubungan dengan Israel. Beberapa negara lain telah memanggil balik diplomatnya dari negara haram itu.

Israel bertindak balas terhadap pemutusan hubungan diplomatik dengan menyifatkan Petro sebagai anti-Semitik dan penuh kebencian.

Serangan penuh kekejaman Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 34,943 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Minggu lalu Netanyahu berkata pada X bahawa ICC "berfikir untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pegawai kanan kerajaan dan tentera Israel sebagai penjenayah perang."

ICC adalah satu-satunya mahkamah bebas di dunia yang ditubuhkan untuk menyiasat kesalahan paling berat oleh suspek individu, termasuk pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Ia sebelum ini telah mengeluarkan waran untuk pemimpin negara; terbaharu Presiden Rusia Vladimir Putin berhubung pencerobohan Ukraine.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE