fb fb fb fb fb

Bapa gadis Kemboja yang meninggal dunia akibat selesema burung disahkan positif

(Seorang pekerja menimbang ayam di sebuah pasar di Phnom Penh, Kemboja/AFP)

KEMBOJA, 24 Februari- Bapa kepada seorang gadis berusia 11 tahun di Kemboja yang meninggal dunia minggu ini akibat selesema burung telah diuji positif virus itu, kata pegawai kesihatan.

Gadis itu yang jatuh sakit pada 16 Februari akibat demam, batuk dan sakit tekak, meninggal dunia pada hari Rabu akibat virus selesema burung H5N1, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa mengumpul sampel daripada 12 orang pada hari Khamis yang berhubung dengan gadis itu.

Bapanya yang berusia 49 tahun adalah satu-satunya orang dalam kalangan mereka yang diuji positif, walaupun dia tidak menunjukkan gejala, tambah mereka.

Pegawai kesihatan sedang mencari punca wabak itu.

Burung liar dijumpai mati di tasik berhampiran perkampungan terpencil gadis itu.

Penyakit ini biasanya merebak daripada burung kepada manusia melalui sentuhan langsung.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa orang ramai agar berwaspada selepas pengesanan selesema burung dalam kalangan haiwan mamalia awal bulan ini, tetapi telah menegaskan bahawa risiko terhadap manusia adalah rendah.

Jangkitan terbaharu itu adalah kejadian selesema burung ke-58 yang direkodkan di Kemboja sejak kes manusia pertama negara itu dilaporkan hampir dua dekad lalu.

"Kami menjangkakan terdapat beberapa kes penyakit klinikal dengan jangkitan yang begitu meluas," kata Ketua Jabatan Veterinar Universiti, Cambridge James Wood, merujuk kepada wabak baru-baru ini dalam kalangan unggas.

"Jelas sekali virus itu memerlukan pemantauan dan pengawasan yang teliti untuk memastikan ia tidak bermutasi atau digabungkan semula. Tetapi bilangan kes jangkitan manusia yang terhad tidak meningkat dengan ketara dan kes yang satu ini dengan sendirinya tidak menandakan keadaan global telah berubah secara tiba-tiba," tambah beliau. -AFP

(FOTO REUTERS)

Media Baharu