MEKAH, 20 Jun- Meski tanpa kehadiran isteri di sisi, seorang bapa tetap cekal meneruskan ibadah haji dengan membawa bersama tiga anaknya.
Khalid Zakaria memaklumkan, isterinya turut mendapat tawaran menunaikan haji tahun ini, namun terpaksa membatalkan hasrat itu setelah dia mengalami masalah kesihatan.
"Dia sepatutnya dapat, tapi bila buat pemeriksaan kesihatan, dia gagal.
Terdapat jangkitan pada paru-paru, jadi dia tak dapat datang, harap anak-anak faham keadaan itu, hidup di dunia ini bukan mudah," katanya.
(Khalid Zakaria, jemaah haji Malaysia)
Sementara itu, anak sulung Khalid, Muhammad Khalid, 30, berkongsi keterujaan apabila pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci.
"Saya turut tidak ditemani isteri, tetapi saya percaya isteri dapat menemani ibu yang kurang sihat.
Saya rasa amat berbesar hati dan gembira sebab saya memang berhasrat nak datang dah lama,” katanya.
Manakala anak bongsu, Ali Khalid, 20, menzahirkan rasa bertuah kerana dapat menunaikan haji pada usia muda.
"Saya sarankan rakan seusia untuk menabung dan mendaftar lebih awal kerana ia tanggungjawab sebagai umat Islam," katanya.