MEKAH, 20 Jun- 'Kesempurnaan dalam Islam' menjadi pegangan buat sebuah keluarga supaya setiap daripada mereka melengkapkan rukun Islam kelima walaupun ia dilaksana pada tahun berbeza.
Tiga beradik dari Taman Melawati, Kuala Lumpur, Muhammad Amnan Mohd Amin, Nur Atikah Mohd Amin dan Muhammad Hatim Mohd Amin beryukur apabila tiba giliran mereka menjadi tetamu Allah setelah semua ahli keluarga lain selesai menunaikan haji sebelum ini.
“Saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang ambil berat tentang agama, mak ayah yang ambil berat pasal agama, Alhamdulillah dan terima kasih serta syukur kerana Allah bagi mak ayah yang sangat tekankan prinsip-prinsip agama dalam kehidupan, dalam semua hal.
Kami nak ucapkan terima kasih juga, asbab mak ayah daftarkan kami sewaktu kami kecil, akhirnya Allah pilih juga, Alhamdulillah,” kata Muhammad Amnan dalam nada sebak.
(Muhammad Amnan Mohd Amin, jemaah haji Malaysia)
Nur Atikah pula bersyukur keakraban dan kasih sayang yang dipupuk sejak kecil, mengeratkan lagi hubungan mereka ketika di tanah suci.
“Duduk pun dekat-dekat, rumah pun dekat-dekat, memang banyak bantu-membantu satu sama lain, Alhamdulillah, mungkin itu satu asbab Allah ajak ke sini bersama-sama,” katanya.
“Selain daripada ziarah, kita buat amalan sendiri, ikut aktiviti surau, kelas mengaji dan ceramah.
Selain daripada tu ulang kaji untuk persediaan ibadah haji,” kata Muhammad Hatim.
Sementara itu, seorang jemaah muda, Ashraf Shafiq Basarudin berkata, dia merupakan anak tunggal dalam keluarga dan datang bersendirian ke tanah suci.
Meski tidak ditemani ibu bapa, ia tidak menjadi suatu masalah kerana jemaah lain sudah dianggap sebagai keluarganya.
“Asalnya memang dah daftar lama sejak dari sekolah lagi, sebab sekolah tak dapat cuti, jadi mak ayah pergi dulu.
Lama-lama, Alhamdulillah tahun ini dapat juga diberi peluang, sebab dah lama tolak, dah banyak kali,” katanya.