fb fb fb fb fb

Bank Dunia umum dana pembiayaan tambahan AS$2.5 bilion untuk Ukraine

(Foto fail AFP)

WASHINGTON, 25 Februari- Bank Dunia pada Jumaat, mengumumkan dana pembiayaan tambahan berjumlah AS$2.5 bilion untuk Ukraine.

Ia bagi menyokong perkhidmatan penting, serta fungsi teras kerajaan di negara dilanda perang itu.

Pembiayaan tersebut diumumkan setahun selepas pencerobohan Rusia di Ukraine.

Sehingga kini, badan peminjam global itu telah meluluskan lebih AS$20.6 bilion pembiayaan kecemasan untuk Ukraine.

"Setahun selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, dunia terus menyaksikan kemusnahan ngeri yang dikenakan ke atas negara dan rakyatnya,” kata Presiden Kumpulan Bank Dunia, David Malpass dalam satu kenyataan.

(David Malpass/Foto fail AFP)

Dana itu disediakan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat dan akan dihantar kepada kerajaan Ukraine selepas pengesahan perbelanjaan yang layak oleh bank.

"Kami akan terus menyokong rakyat Ukraine melalui projek pembaikan segera dan penyelarasan dengan kerajaan untuk usaha pemulihan dan pembinaan semula," menurut Malpass.

Bank Dunia menambah dalam pengumumannya bahawa pembiayaan yang difasilitasinya untuk perbelanjaan awam di Ukraine "disusun untuk membantu meminimumkan risiko rasuah".

Pada Jumaat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berikrar melakukan segala-galanya untuk mengalahkan Rusia tahun ini, sempena ulang tahun konflik terbesar Eropah sejak Perang Dunia II.

Amerika Syarikat telah meningkatkan sekatan ke atas Moscow, kali ini menyasarkan bank negara, industri ketenteraan dan akses semikonduktor, manakala Kumpulan Tujuh negara perindustrian mengancam penghapus embargo dengan "kos yang teruk."

Sementara itu, kereta kebal Leopard buatan Jerman yang pertama juga tiba di Ukraine, manakala Poland dijangka menghantar lebih banyak kereta kebal tidak lama lagi.-AFP

Media Baharu