fb fb fb fb fb

Bank Dunia beri Sri Lanka AS$160 juta beli bahan api

SRI LANKA, 19 Mei- Sri Lanka menerima 160 juta dolar Amerika daripada Bank Dunia.

Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe ketika memaklumkan perkara itu di parlimen juga berkata, negara itu akan menerima geran daripada Bank Pembangunan Asia tidak lama lagi.

Jelasnya, dana Bank Dunia tidak boleh digunakan untuk membeli bahan api.

Bagaimanapun, Sri Lanka, akan membuat permintaan kepada bank itu sama ada sebahagian daripada wang berkenaan, boleh digunakan untuk menyelesaikan segera krisis bahan api.

Menteri Tenaga dan Kuasa Kanchana Wijesekera turut memberitahu parlimen bahawa negara kehabisan bekalan petrol untuk dua hari berikutnya, namun memberi jaminan ia akan diselesaikan pada hujung minggu.

(Foto fail/ AFP)

Sri Lanka menghadapi krisis ekonomi yang teruk sejak negara itu gagal membayar hutang luar negeri pada 12 April lepas.

Perdana menteri berkata semua ahli parlimen mesti bekerjasama untuk menyelesaikan krisis yang dihadapi Sri Lanka, sambil menambah beliau akan membentangkan kepada parlimen laporan komprehensif mengenai status kewangan negara pada minggu hadapan.

Wickremesinghe dilantik sebagai Perdana Menteri pada 12 Mei selepas Mahinda Rajapaksa meletak jawatan. -AFP

Media Baharu