fb fb fb fb fb

Banjir Thailand ragut sembilan nyawa, ribuan penduduk hilang tempat tinggal

Seorang penduduk mengambil barang-barang yang terapung di rumahnya di wilayah selatan Narathiwat, Thailand/ AFP

BANGKOK, 30 November- Banjir di selatan Thailand meragut sembilan nyawa dan menyebabkan lebih 13,000 kehilangan tempat tinggal, lapor agensi  bencara negara itu pada Sabtu.

Pasukan penyelamat menggunakan bot dan jet ski dalam usaha menyelamatkan penduduk yang terkandas.

Rakaman media tempatan menunjukkan penduduk mengharungi air banjir paras dada dan kereta di jalan raya ditenggelami air.

"Banjir merentasi lapan wilayah di selatan Thailand telah menjejaskan 553,921 isi rumah dan meragut sembilan nyawa, mendorong agensi untuk menggerakkan bantuan segera," menurut hantaran agensi itu di Facebook.

Sementara itu lebih 13,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka dan berada di pusat pemindahan sementara di sekolah dan kuil.

Manakala dua buah hospital di wilayah Pattani terpaksa menggantung operasi bagi mengelakkan air banjir merosakkan kemudahan perubatan.

Dalam pada itu Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran berkenaan "hujan sangat lebat" yang boleh menjejaskan beberapa kawasan di selatan negara itu hingga minggu depan.

Kerajaan mengerahkan pasukan penyelamat untuk membantu penduduk terjejas banjir dan memperuntukkan 50 juta baht sebagai bantuan banjir bagi setiap wilayah.

Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menerusi X memaklumkan, beliau ingin "memulihkan keadaan secepat mungkin."

Walaupun Thailand mengalami hujan monsun tahunan, saintis berpendapat perubahan corak cuaca lebih ketara juga boleh menyebabkan banjir besar.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI