KULLU, 3 September - Banjir yang melanda utara India pada Rabu mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa dan kira-kira 10,000 penduduk telah dipindahkan dari tebing sungai di ibu negara, Delhi.
Pegawai Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri Mohinder Pal berkata, ramalan ribut petir berterusan turut dijangkakan serta gelombang banjir terbaru itu menjejaskan wilayah utara Jammu dan Kashmir, Himachal Pradesh, Uttarakhand dan Punjab.
"Kira-kira 40 rumah terjejas susulan kejadian itu. Sebahagian penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan sekolah. Namun, kami tidak menolak sekiranya masih ada keluarga atau individu yang masih terperangkap dengan banjir," katanya.
Paras air Sungai Chenab dan Tawi dilaporkan melepasi paras bahaya di beberapa lokasi. Sungai yang melimpah menyebabkan kejadian tanah runtuh dan merosakkan banyak laluan jalan raya, sekali gus memutuskan hubungan beberapa kawasan pergunungan Jammu dan Himachal daripada bahagian lain India.
Musim monsun di India tahun ini amat dahsyat dan ia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 130 nyawa pada Ogos di utara India, selain memusnahkan kampung dan infrastruktur.
Penduduk tempatan Bhain Sahani berkata, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Saya tinggal di sini selama 22 tahun dan tidak pernah melihat paras air naik setinggi ini. Sejak 2002 saya tinggal di Akhnoor. Air tidak pernah masuk ke kuil, tetapi kini kuil juga ditenggelami air. Ya, paras air semakin meningkat dan kampung di kawasan rendah turut banjir," katanya.- REUTERS