fb fb fb fb fb

Banjir dahsyat di Sepanyol: Penduduk marah, korban cecah 217 orang

FOTO REUTERS

VALENCIA, 4 November - Penyelamat Sepanyol bertungkus-lumus memasuki garaj yang ditenggelami air untuk mencari mayat pada Isnin.

Ia selepas penduduk tempatan memarahi dan melempar lumpur Raja, Ratu dan Perdana Menteri Sepanyol susulan kemarahan mereka di bandar paling terkesan akibat banjir.

Jumlah korban kini mencecah 217 orang dan djangkakan lebih ramai lagi mayat akan ditemukan.

Perkhidmatan cuaca kebangsaan AEMET mengumumkan berakhirnya keadaan darurat di Valencia.

Bagaimanapun amaran merah hujan lebat dikeluarkan di sebahagian wilayah timur laut Catalonia.

Menteri Pengangkutan, Oscar Puente, mengumumkan di platform X bahawa perkhidmatan kereta api di Catalonia digantung sehingga diberitahu, sementara penerbangan di lapangan terbang El Prat, Barcelona ditunda.

Negara itu sedang berhadapan dengan kesan kemarahan luar biasa orang awam yang ditujukan kepada Raja Felipe VI, Ratu Letizia, dan Perdana Menteri Pedro Sanchez.

Pengawal Awam telah membuka siasatan terhadap kekecohan di bandar Paiporta yang memendekkan lawatan mereka pada hari Ahad, kata Menteri Dalam Negeri Fernando Grande-Marlaska kepada penyiar awam TVE. - AFP

TETITIA YUSOFF