EL TORNO, 14 Disember - Pihak berkuasa Bolivia menggunakan helikopter untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya 26 individu dilaporkan hilang susulan banjir di wilayah Santa Cruz.
Menurut majlis perbandaran setempat hujan lebat berterusan sepanjang malam menyebabkan Sungai Pirai dan beberapa kawasan melimpah pada awal pagi Sabtu di sekitar pekan El Torno.
Kejadian itu mengakibatkan sebuah jambatan runtuh, beberapa kediaman dihanyutkan arus deras serta memutuskan laluan ke beberapa komuniti luar bandar.
Rakaman video yang dikeluarkan Majlis Perbandaran El Torno memaparkan sebuah helikopter mendarat ketika pasukan penyelamat memindahkan penduduk terjejas menggunakan pengusung ke ambulans, manakala sukarelawan memuatkan bekalan bantuan ke dalam pesawat.
Majlis Perbandaran El Torno menerusi hantaran Facebook memaklumkan, operasi menyelamat dari udara telah diaktifkan dengan menggunakan helikopter Angkatan Tentera bagi tujuan pemindahan berikutan kawasan terjejas sukar diakses selepas hujan lebat.
Datuk Bandar El Torno, Hediberto Cuellar memaklumkan, ramai penduduk kehilangan tempat tinggal selain terputus bekalan elektrik dan air.
"Kami baru sahaja menyelamatkan seorang individu yang dipatuk ular berbisa di Daerah Tujuh. Saya sempat bersama mereka seketika. Penduduk kehilangan tempat tinggal.
"Tiada laluan yang jelas, sukar membezakan antara jalan dan sungai. Bekalan elektrik dan air juga terputus di Daerah Enam dan Tujuh. Di Daerah Enam, 26 orang dilaporkan hilang dan dalam sebuah keluarga hanya seorang kanak-kanak yang tinggal," katanya.
Sementara itu Naib Presiden Bolivia, Edmund Lara, yang melawat El Torno, menggesa Menteri Pertahanan menghantar lebih banyak pesawat, sambil memaklumkan kira-kira 200 penduduk perlu dipindahkan segera.
"Kami memerlukan lebih banyak helikopter untuk pemindahan kerana kira-kira 200 orang dilaporkan berada di kawasan ini dan perlu dipindahkan," katanya.
Sementara itu, sukarelawan dilihat menyediakan makanan untuk penduduk yang dipindahkan serta menguruskan sumbangan di pusat pengumpulan bantuan ketika operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan diteruskan.- REUTERS