fb fb fb fb fb

Protes di Venezuela kecam tindakan AS rampas kapal minyak

Protes di Venezuela susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak di perairan Caribbean/ REUTERS

CARACAS, 14 Disember - Ratusan penyokong kerajaan Venezuela mengadakan demonstrasi susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) merampas sebuah kapal tangki minyak di perairan Caribbean.

Kerajaan Venezuela menyifkatkan tindakan tersebut sebagai satu "rampasan secara tidak sah" selain mendakwa AS cuba campur tangan dalam pengurusan sumber asli negara itu.

Protes turut diadakan di beberapa bandar lain di seluruh negara itu dengan slogan "Protes Nasional Besar-besaran Menentang Lanun Yankee".

Di kawasan kejiranan La Vega, Caracas, himpunan itu disertai penduduk tempatan dan pegawai kerajaan termasuk Datuk Bandar Caracas, yang menuduh kerajaan AS cuba menguasai sumber asli Venezuela.

Menurut dokumen mahkamah yang dibuka kepada umum pada Jumaat, kerajaan AS melaksanakan rampasan kapal M/T Skipper di luar pesisir Venezuela pada Rabu, sejurus sebelum tempoh waran yang ditandatangani hakim hampir tamat.

Waran itu, yang ditandatangani Hakim Majistret AS, Zia Faruqui, pada 26 November, memberi kebenaran kepada pentadbiran Presiden AS Donald Trump sehingga 10 Disember 2025 untuk merampas kapal berkenaan. Rampasan itu merupakan yang pertama melibatkan kargo minyak Venezuela susulan sekatan AS yang berkuat kuasa sejak 2019.

Pentadbiran Trump mendakwa kapal M/T Skipper digunakan untuk mengangkut minyak yang dikenakan sekatan dari Venezuela dan Iran.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino López, pada Jumaat mengecam tindakan AS merampas kapal tangki minyak di perairan Caribbean.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI