PROVIDENCE, 14 Disember - Polis di Rhode Island sedang memburu suspek berhubung insiden tembakan di Universiti Brown, di sini pada Sabtu, yang mengorbankan dua individu manakala lapan lagi dilaporkan cedera parah, menurut pihak berkuasa.
Datuk Bandar Providence, Brett Smiley, berkata dalam sidang media bahawa polis masih giat mengesan penyerang yang melepaskan tembakan di Bangunan Kejuruteraan Barus & Holley, ketika peperiksaan sedang berlangsung.
Menurut pihak berkuasa, suspek dipercayai seorang lelaki berpakaian hitam dan usaha mengesan identitinya sedang dipergiat dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan kejadian bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.
Smiley berkata, pihak berkuasa masih belum dapat mendedahkan butiran mengenai mangsa, termasuk sama ada mereka merupakan pelajar universiti berkenaan. Beliau turut melahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu dan menggesa orang ramai agar mendoakan kesejahteraan keluarga mangsa.
Universiti Brown terletak di College Hill, Providence, yang merupakan ibu negeri Rhode Island. Universiti berprestij itu memiliki ratusan bangunan termasuk dewan kuliah, makmal serta asrama pelajar.- REUTERS