fb fb fb fb fb

Bangunan runtuh di wilayah Hunan: 18 terperangkap, 39 hilang

(Bangunan runtuh di Changsha, wilayah Hunan tengah China, menyebabkan berpuluh-puluh orang terperangkap di bawah runtuhan/CNS/AFP)

BEIJING, 1 April - Sekurang-kurangnya 18 orang terperangkap di bawah sebuah bangunan lapan tingkat yang runtuh di Hunan, wilayah tengah China, menurut pasukan penyelamat pada Sabtu.

Bangunan itu menempatkan sebuah hotel, pangsapuri dan pawagam, runtuh pada tengah hari Jumaat.

"39 orang lagi tidak dapat dihubungi selepas kejadian itu,'" kata Datuk Bandar Zheng Jianxin kepada pemberita.

"Memandangkan bangunan runtuh itu telah menjejaskan bangunan lain di sekelilingnya, penyelamat sedang mengukuhkan bangunan berhampiran dan memindahkan orang ramai," kata Zheng yang juga Pengarah Besar Operasi Menyelamat.

(Usaha menyelamat sedang dilakukan/REUTERS)

Pihak berkuasa belum mengeluarkan butiran mengenai mangsa tetapi mengesahkan, lima orang telah diselamatkan dari struktur itu.

Sebahagian daripada yang cedera telah dikejarkan menaiki pengusung beroda melalui lorong sempit lewat Jumaat, manakala anjing pengesan menghidu kawasan itu untuk mengesan mangsa yang masih hidup.

Punca kejadian belum dikenal pasti. Ia bagaimanapun disyaki berpunca daripada bebanan lebih.

"Penyewa telah membuat perubahan struktur pada premis itu pada tahap yang berbeza-beza," lapor badan penyiar CCTV, sambil menambah bahawa punca keruntuhan dalam siasatan. -AFP

 

Media Baharu