fb fb fb fb fb

Ketegangan Iran-Saudi hampir berakhir - PM Iraq

(Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi/AP)

BAGHDAD, 1 Mei - Pengakhiran ketegangan bertahun-tahun antara pesaing serantau Iran dan Arab Saudi semakin hampir, kata Perdana Menteri Iraq Mustafa al-Kadhemi.

Iraq yang merupakan jiran kepada kedua-dua negara, telah menganjurkan lima pusingan rundingan sepanjang tahun lalu bertujuan memulihkan hubungan Tehran-Riyadh.

Berikutan pusingan terbaharu di Baghdad, pegawai Iraq semakin optimis bahawa sesi keenam akan meningkatkan prospek hubungan diplomatik yang diputuskan oleh Riyadh pada 2016 dapat disambung semula.

Rundingan disambung semula pada April 2021 antara pegawai kanan keselamatan dari Iran dan Arab Saudi/REUTERS

"Saudara-saudara kita di Arab Saudi dan Republik Islam Iran mendekati dialog dengan tanggungjawab besar seperti yang dituntut oleh situasi serantau semasa," kata Kadhemi dalam wawancara dengan akhbar milik kerajaan, Al-Sabah.

"Kami yakin bahawa perdamaian yang akan memberi manfaat kepada kestabilan serantau, sudah hampir," kata Kadhemi.

Pada Selasa lepas, jurucakap Kementerian Luar Iraq, Ahmed al-Sahaf berkata rundingan itu berterusan dan mungkin boleh membawa kepada pemulihan perwakilan diplomatik antara Iran dengan Arab Saudi, lapor agensi berita INA. -AFP

Media Baharu