fb fb fb fb fb

Bangunan empat tingkat runtuh di Marseille

(Operasi menyelamat sedang giat dilakukan di lokasi runtuhan/AFP)

MARSEILLE, 9 April- Sebuah bangunan empat tingkat di bandar pelabuhan Marseille yang terletak di selatan Perancis runtuh dan menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang cedera.

Menurut pegawai, kebakaran yang berlaku turut menghalang pekerja menyelamat mencari lebih ramai mangsa yang terlibat.

Datuk Bandar Benoit Payan memberitahu pemberita, kejadian yang berlaku pada 12.40 tengah malam waktu tempatan itu turut merosakkan bahagian dua bangunan di sekitarnya.

“Pada masa ini terdapat kebakaran di bangunan 17. Kebakaran ini menghalang kami daripada menghantar anjing dan pasukan untuk mencari kemungkinan mangsa yang mungkin berada di bawah runtuhan,” tambahnya.


(Jentera penyelamat dilokasi bangunan runtuh, Marseille, Selatan Perancis/AFP)

Beliau berkata 11 orang dipindahkan dari dua bangunan berhampiran yang rosak akibat runtuhan itu.

Sementara itu, jalan-jalan di sekitar bangunan itu telah ditutup serta ramai kakitangan kecemasan berada di lokasi, menurut seorang jurugambar AFP.

Pegawai wilayah, Christophe Mirmand memberitahu AFP menjangkakan bahawa letupan menyebabkan bangunan runtuh dan juga kemungkinan kebocoran gas.

"Namun kita mesti sentiasa berhati-hati tentang punca pada peringkat ini," katanya.

"Siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui punca runtuhan.

Sementara itu, pegawai bomba memberitahu seramai 100 anggota bomba di lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Keutamaan adalah memadamkan kebakaran dan membersihkan runtuhan untuk mencari orang yang berkemungkinan berada di bawahnya,” katanya.-AFP

Media Baharu