fb fb fb fb fb

Bangladesh laksana perintah berkurung, kerah tentera kawal protes

Foto REUTERS

DHAKA, 20 Julai- Kerajaan Bangladesh memutuskan untuk mengenakan perintah berkurung di seluruh negara dan mengerahkan tentera untuk membanteras demonstrasi ganas pelajar yang membantah sistem kuota pekerjaan awam di negara itu, lapor BBC Bangla, semalam.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Nayeemul Islam Khan berkata kepada BBC keputusan rasmi berhubung perintah berkurung akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Media tempatan melaporkan tiga orang terbunuh di negara itu pada Jumaat ketika polis membanteras insiden tersebut. Polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan di beberapa kawasan, kata wartawan Reuters.

Telekomunikasi juga terjejas dan saluran berita televisyen juga tidak disiarkan.

Pihak berkuasa telah memotong beberapa perkhidmatan telefon mudah alih pada hari sebelumnya dalam usaha meredakan pergolakan.

Sementara itu, akhbar Bengali Prothom Alo melaporkan perkhidmatan kereta api telah digantung di seluruh negara, selepas penunjuk perasaan menyekat jalan raya dan membaling batu ke arah pegawai keselamatan.

Sehingga semalam, jumlah mereka yang maut akibat protes mencecah 105 orang.

Kedutaan A.S. di Dhaka memaklumkan bahawa laporan menunjukkan lebih 40 kematian dan ratusan hingga ribuan orang cedera di seluruh Bangladesh.

Protes tercetus bagi menggesa kerajaan menamatkan sistem kuota yang mengehadkan lebih separuh daripada jawatan perkhidmatan awam untuk kumpulan tertentu, termasuk anak-anak veteran perang pembebasan negara pada 1971 menentang Pakistan.

Pergolakan di seluruh negara itu adalah yang terbesar sejak Hasina dipilih semula tahun ini. Ia juga didorong oleh pengangguran yang tinggi dalam kalangan golongan muda, yang membentuk hampir satu perlima daripada populasi 170 juta.

Beberapa penganalisis berkata keganasan itu kini turut didorong oleh masalah ekonomi yang lebih meluas, seperti inflasi yang tinggi.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN