fb fb fb fb fb

Baba Siddique, ahli politik India mati ditembak

Baba Siddique (kanan) bersama bintang Bollywood, Shah Rukh Khan (kiri) pada Majlis Iftar tahunan yang dianjurkan Siddique di Mumbai pada 2 Jun 2019/Reuters

MUMBAI, 13 Oktober 2024- Seorang ahli politik di India mati ditembak di sini dalam kejadian semalam, beberapa minggu sebelum pilihan raya penting negeri.

Baba Siddique, 66, adalah anggota dewan tempatan dan bekas menteri di negeri Maharashtra telah ditembak berkali-kali di bahagian dada di luar pejabat anaknya di sini, menurut laporan media tempatan.

Timbalan Ketua Menteri Maharashtra, Ajit Pawar daripada parti sama dengan Siddique menyatakan beliau terkejut dengan "serangan pengecut" berkenaan.

Akhbar Hindustan Times melaporkan bahawa dua suspek penyerang telah ditangkap dan polis sedang memburu seorang lagi yang masih bebas.

Penyiar NDTV pula melaporkan kedua-dua suspek mengaku sebagai ahli sebuah kumpulan dikendalikan oleh Lawrence Bishnoi yang kini ditahan atas tuduhan mengendalikan kumpulan jenayah yang terlibat dalam beberapa pembunuhan.

Kejadaian tersebut berlaku beberapa minggu selepas kawalan keselamatan terhadap Siddique dipertingkatkan selepas beliau menerima ancaman bunuh, serta menjelang pilihan raya pada akhir tahun ini.

"Insiden ini akan disiasat secara menyeluruh dan tindakan tegas akan diambil terhadap penyerang. Dalang di sebalik serangan ini juga akan dikesan," kata Pawar dalam satu kenyataan.

Siddique dikenali rapat dengan beberapa bintang Bollywood seperti Shah Rukh Khan dan Salman Khan serta terkenal kerana sering menganjurkan majlis besar. -AFP

SITI AISHAH MD ISA