SYDNEY, 29 November - Australia menjadi negara pertama di dunia melarang kanak-kanak dan remaja bawah 16 tahun menggunakan media sosial berkuat kuasa pada penghujung tahun hadapan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan undang-undang baharu itu sebagai langkah mengurangkan kemudaratan kepada kanak-kanak bawah umur.
Undang-undang yang diluluskan parlimen pada Khamis (28 November) melarang kanak-kanak bawah umur daripada menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, dan X.
Seramai 34 senator mengundi menyokong manakala 19 menentangnya.
Namun, Dewan Perwakilan meluluskan undang-undang ini dengan sokongan 102 undi berbanding hanya 13 ahli parlimen yang menentang larangan itu.
"Keputusan ini akan membawa hasil yang lebih baik dan mengurangkan bahaya untuk generasi muda di Australia," kata Albanese kepada pemberita.
Beliau akui bahawa pelaksanaan undang-undang ini mungkin tidak sempurna, seperti mana larangan alkohol bagi mereka yang berusia bawah 18 tahun.
Meskipun pelaksanaan itu telah lama diluluskan namun masih ada yang melanggarnya.
"Namun, kami tahu ini adalah langkah yang betul," katanya dalam sidang media di Canberra.
Menurut Albanese, platform media sosial kini mempunyai 'tanggungjawab sosial' untuk menjadikan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan.
"Kami menyokong anda, itu mesej kami kepada ibu bapa Australia," tambahnya.
Platform media sosial akan dikenakan denda sehingga AUS$50 juta (kira-kira RM150 juta) jika gagal mematuhi peraturan itu.
Walaupun undang-undang itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 12 bulan, perincian tentang cara peraturannya akan dikuatkuasakan masih belum jelas.
Pakar menyuarakan kebimbangan bahawa ia mungkin sekadar simbolik dan sukar dikuatkuasakan. - AFP