PARIS, 29 November - Pihak berkuasa Perancis menahan 26 individu dan merampas aset bernilai 11 juta euro (RM55 juta) selepas menumpaskan sindiket penyeludupan migran dari Asia Selatan yang beroperasi sejak September 2021.
Sindiket disyaki membawa ribuan migran dari India, Sri Lanka, dan Nepal ke Perancis dengan bayaran antara 15,000 hingga 26,000 euro (RM74,000 hingga RM129,000) setiap seorang.
Hasil aktiviti haram sindiket tersebut, bernilai jutaan euro, dilaburkan melalui syarikat pembinaan, perdagangan emas, dan pemindahan wang tidak formal ke Asia Selatan untuk tujuan pengubahan wang haram.
Pengarah Pasukan Sempadan Perancis di Lapangan Terbang Charles De Gaulle, Julien Gentile berkata, mereka ditahan dalam satu operasi yang dijalankan antara Mac hingga November tahun ini.
"Penyeludup menggunakan visa pelancongan, kerja, atau perubatan palsu untuk membawa migran ke Kesatuan Eropah melalui Dubai atau negara Afrika," jelasnya.
Bagaimanapun, ketua sindiket tersebut masih bebas dan Perancis kini menunggu persetujuan untuk mengekstradisi dalang sindiket dari Dubai.
Daripada 26 yang ditahan, 15 telah ditempatkan dalam tahanan pra-perbicaraan, tujuh berada di bawah pengawasan kehakiman, dan empat lagi sedang disoal siasat oleh hakim penyiasat.
Aset yang dirampas termasuk hartanah, kereta mewah, barang kemas, dan emas, manakala mereka yang ditahan terdiri daripada penyeludup, pencuci wang, dan broker kewangan haram.
"Kes ini sangat luar biasa kerana melibatkan pelbagai lapisan dalam sindiket," tambah Gentile.
Isu penyeludupan migran kini menjadi topik utama di Perancis, dengan kerajaan konservatif baharu berikrar untuk memperketatkan kawalan.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Bruno Retailleau, dijadualkan mengadakan lawatan ke Calais pada Jumaat untuk membincangkan krisis migran bersama Datuk Bandar tempatan.
Sekurang-kurangnya 72 migran tanpa dokumen dilaporkan maut tahun ini ketika cuba menyeberangi Selat Inggeris ke Britain.
Sekali gus meningkatkan desakan untuk tindakan lebih tegas terhadap sindiket penyeludupan manusia. - AFP