fb fb fb fb fb

Australia bakal denda penyedia platform media sosial

Gambar hiasan

SYDNEY, 21 November - Penyedia platform media sosial di Australia bakal didenda sehingga AS$32.5 juta (kira-kira RM134.1 juta) jika gagal menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun menggunakan platform seperti X, TikTok, Facebook, dan Instagram

Undang-undang yang dianggap sebagai pertama kalinya di dunia itu akan dibahaskan di Parlimen hari ini (Khamis).

Undang-undang itu mewajibkan syarikat media sosial mengambil langkah tegas untuk menghalang akses kepada golongan bawah umur.

Jika diluluskan, syarikat akan diberi masa tempoh setahun untuk menguatkuasakan larangan itu, walaupun wujud keraguan sama ada ia boleh dilaksanakan secara teknikal.

Jika gagal, mereka boleh dikenakan denda sehingga Aus$50 juta (AS$32.5 juta) kira-kira RM134.1 juta.

Australia berada di barisan hadapan negara-negara lain yang berusaha menambah baik kawalan media sosial.

Khususnya, peraturan had umur ini dianggap antara yang paling ketat di dunia untuk melindungi kanak-kanak.

Bagaimanapun, butiran mengenai bagaimana syarikat media sosial akan melaksanakan larangan itu masih belum jelas.

Undang-undang tersebut juga merangkumi peruntukan privasi yang ketat, termasuk kewajipan memadam data pengesahan umur yang dikumpulkan.

Menteri Komunikasi, Michelle Rowland, menegaskan bahawa syarikat media sosial memikul tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mental rakyat Australia terjaga.

"Undang-undang ini menetapkan bahawa tanggungjawab untuk memastikan perlindungan terletak sepenuhnya pada platform media sosial, bukan pada ibu bapa atau kanak-kanak," katanya.

Penyedia platform seperti YouTube akan diberikan pengecualian daripada larangan ini, kerana platform tersebut mungkin diperlukan oleh remaja bagi tujuan pendidikan.

Media sosial, yang dahulunya dianggap sebagai alat untuk kekal berhubung dan mendapat maklumat, kini tercemar dengan isu buli siber, penyebaran kandungan haram, dan dakwaan campur tangan ketika pilihan raya.

Jika undang-undang ini diluluskan, penyedia platform akan diberi tempoh setahun untuk melaksanakan dan menguatkuasakan larangan tersebut.

Syarikat media sosial menyatakan mereka akan mematuhi undang-undang baharu itu, namun memberi amaran kepada kerajaan agar tidak bertindak tergesa-gesa tanpa sebarang rundingan yang sewajarnya.

Penganalisis turut meragui sama ada larangan umur yang ketat terhadap penggunaan itu dapat dilaksanakan dengan efektif. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN