fb fb fb fb fb

Australia haramkan DeepSeek dalam semua peranti kerajaan

Foto REUTERS

SYDNEY,5 Februari-Australia telah mengharamkan penggunaan DeepSeek pada semua peranti kerajaan atas nasihat agensi keselamatan, kata seorang pegawai kanan pada Rabu, dengan alasan risiko privasi dan perisian hasad (malware) yang dibawa oleh program kecerdasan buatan (AI) dari China itu.

Chatbot DeepSeek yang dibangunkan oleh sebuah syarikat permulaan berpangkalan di China telah mengejutkan industri dan menggoncang pasaran kewangan sejak dilancarkan bulan lalu.

Namun, semakin banyak negara termasuk Korea Selatan, Itali dan Perancis telah menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan serta amalan pengurusan data aplikasi tersebut.

Australia meningkatkan langkah sekatan dengan mengharamkan DeepSeek daripada semua peranti kerajaan, menjadikannya antara tindakan paling tegas terhadap chatbot China itu setakat ini.

"Ini adalah tindakan yang diambil kerajaan atas nasihat agensi keselamatan. Ia sama sekali bukan langkah simbolik," kata duta keselamatan siber kerajaan, Andrew Charlton.

"Kami tidak mahu sistem kerajaan terdedah kepada aplikasi-aplikasi ini", katanya.

Charlton menjelaskan kepada penyiar kebangsaan ABC bahawa risiko utama termasuk kemungkinan maklumat yang dimuat naik tidak kekal sebagai rahsia dan bahawa aplikasi seperti DeepSeek boleh mendedahkan anda kepada perisian hasad."

Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan pada malam sebelumnya.

"Selepas mempertimbangkan analisis ancaman dan risiko, saya telah memutuskan bahawa penggunaan produk, aplikasi dan perkhidmatan web DeepSeek membawa tahap risiko keselamatan yang tidak boleh diterima kepada kerajaan Australia," kata Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri, Stephanie Foster, dalam arahan tersebut.

Mulai Rabu, semua entiti Persekutuan bukan korporat mesti "mengenal pasti dan menghapuskan semua penggunaan sedia ada produk, aplikasi dan perkhidmatan sesawang DeepSeek dalam semua sistem dan peranti kerajaan Australia," tambahnya.

Arahan itu juga menghendaki agar "akses, penggunaan atau pemasangan produk DeepSeek" dihalang di semua sistem dan peranti kerajaan.

Tindakan ini mendapat sokongan bipartisan dalam kalangan ahli politik Australia.

Timbalan ketua pembangkang, Sussan Ley, menggesa orang awam untuk "berfikir dengan teliti" tentang menghapuskan DeepSeek daripada telefon dan komputer peribadi mereka juga.

Pada 2018, Australia mengharamkan syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei, daripada menyertai rangkaian 5G negara itu atas kebimbangan keselamatan negara.

TikTok turut diharamkan daripada peranti kerajaan pada 2023 atas nasihat agensi perisikan Australia.

DeepSeek mencetuskan kebimbangan bulan lalu apabila mendakwa chatbot terbarunya, R1, menyamai keupayaan AI terkemuka di Amerika Syarikat pada kos yang jauh lebih rendah.

Perkembangan ini mengejutkan Silicon Valley, dengan sesetengah pihak menyifatkannya sebagai amaran bagi pembangun AI di AS.

Sesetengah pakar menuduh DeepSeek meniru keupayaan teknologi AS secara terbalik, termasuk AI yang digunakan untuk ChatGPT.

Ketegangan teknologi dan perdagangan antara China dan Australia sudah berlarutan selama bertahun-tahun.

Beijing pernah berang terhadap keputusan Australia berkaitan Huawei, selain tindakan Canberra terhadap operasi pengaruh asing China serta seruannya untuk siasatan mengenai asal-usul pandemik Covid-19.

Perang perdagangan bernilai berbilion dolar antara Canberra dan Beijing akhirnya reda pada penghujung tahun lalu apabila China menarik balik sekatan terakhirnya terhadap import udang karang hidup dari Australia.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD