fb fb fb fb fb

AS umum bantuan AS$60 juta kepada Haiti

Foto REUTERS

PORT-AU-PRINCE, 23 Julai-Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang melawat Haiti yang dilanda krisis pada Isnin mengumumkan bantuan tambahan sebanyak AS$60 juta selain mendengar maklumat mengenai misi sokongan keselamatan yang diketuai Kenya.

Duta AS,Linda Thomas-Greenfield mengadakan perbincangan dengan majlis Presiden dan Perdana Menteri baharu Garry Conille semasa lawatan.

"Rakyat Haiti berhak mendapat pilihan raya yang bebas, adil dan kerajaan yang benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat," katanya semasa sidang media di sini.

Greenfield turut mengumumkan AS$60 juta disediakan melalui USAID sebagai signifikan kepada pembiayaan AS yang besar untuk aset keselamatan tambahan dan bantuan kemanusiaan buat Haiti," menurut satu kenyataan.

Dana itu akan digunakan bagi tujuan makanan, air, tempat tinggal dan keperluan lain seperti yang pernah dijanjikan Amerika Syarikat kepada Haiti sebelum ini.

Lawatan Thomas-Greenfield itu hanya beberapa hari selepas polis Kenya mula membuat rondaan di bahagian ibu kota Port-au-Prince.

Kenya mengerahkan beratus-ratus pegawai polis sebagai sebahagian daripada pasukan antarabangsa untuk membantu Haiti menangani tahap keselamatan yang semakin membimbangkan.

Negara itu telah lama dihantui dengan jenayah kumpulan bersenjata, namun bertambah parah pada Februari selepas kumpulan berkenaan melancarkan serangan di ibu negara disamping mahu menggulingkan perdana menteri ketika itu Ariel Henry.

Henry meletak jawatan pada April dan menyerahkan kawalan kepada kerajaan peralihan yang ditugaskan untuk memimpin Haiti ke arah pilihan raya pertama negara berkenaan sejak 2016.

Keganasan di Port-au-Prince telah menjejaskan keselamatan dan akses bantuan kemanusiaan dengan kebanyakan bandar jatuh di tangan kumpulan bersenjata yang dituduh melakukan penderaan termasuk pembunuhan, rogol, rompakan dan penculikan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD