WASHINGTON, 26 Disember- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Khamis mendakwa tentera AS telah melancarkan serangan udara terhadap kumpulan Militan Daesh (IS) di barat laut Nigeria,
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social, Trump berkata serangan tersebut menyasarkan militan yang didakwanya terlibat dalam pembunuhan penganut Kristian di negara Afrika Barat itu.
Beliau turut memberi amaran bahawa serangan lanjut akan dilakukan sekiranya keganasan berterusan.
“Jabatan Perang telah melaksanakan beberapa serangan tepat,” kata Trump tanpa memberikan butiran lanjut mengenai lokasi atau skala operasi tersebut.
Sementara itu, Komando Afrika Amerika Syarikat (AFRICOM) mengesahkan bahawa satu serangan udara telah dijalankan “atas permintaan pihak berkuasa Nigeria” dan mengakibatkan kematian beberapa pejuang ISIS.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dalam kenyataan di media sosial X, memuji tahap kesiapsiagaan tenteranya serta menyatakan penghargaan terhadap kerjasama dan sokongan kerajaan Nigeria.
Serangan itu dilaporkan sebagai operasi ketenteraan pertama oleh AS di Nigeria sejak Trump kembali memegang jawatan presiden.
Ia susulan kenyataan kontroversi beliau pada Oktober dan November lalu yang menggambarkan keganasan di Nigeria sebagai ancaman “genosid” terhadap penganut Kristian.
Namun, kerajaan Nigeria serta penganalisis bebas menolak naratif tersebut, dengan menegaskan bahawa konflik keselamatan di negara itu berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk pemberontakan bersenjata, kumpulan banduan, dan ketidakstabilan wilayah, bukan semata-mata isu penganiayaan agama.- AFP