YANGON, 26 Disember - Junta tentera Myanmar akan mengadakan pusingan ketiga pilihan raya yang dikawal ketat pada 25 Januari, menurut junta tentera dalam kenyataan pada Khamis.
Junta tentera turut memaklumkan pusingan berkenaan akan berlangsung selepas pengiraan undi pusingan pertama bermula.
Pemantau demokrasi mengkritik pilihan raya yang dikendalikan junta sebagai “lakonan” untuk mengekalkan kuasa tentera yang menggulingkan pentadbiran rakyat pada rampasan kuasa 2021 sekali gus mencetuskan konflik awam.
Tokoh demokrasi, Aung San Suu Kyi, masih dipenjara sejak rampasan kuasa itu.
Partinya, National League for Democracy (NLD), telah dibubarkan.
PBB turut mengecam junta atas tindakan menindas pengkritik menjelang pilihan raya.
Undian pusingan pertama dijadual pada Ahad ini, manakala pusingan kedua akan berlangsung pada 11 Januari.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan yang dikawal junta, pusingan ketiga akan diadakan di 63 daripada 330 kawasan pentadbiran.
Pihak junta tentera telah menguasai Myanmar hampir sepanjang sejarah pascakemerdekaan, kecuali tempoh 10 tahun yang menyaksikan kerajaan awam mengambil alih pentadbiran.
Selepas parti NLD menang besar dalam pilihan raya 2020, Ketua Tentera Min Aung Hlaing merampas kuasa atas alasan wujud penipuan undi.
Selepas itu, pasukan keselamatan menindas protes prodemokrasi. Ramai aktivis meninggalkan Yangon untuk bergabung dengan tentera gerila etnik yang telah lama beroperasi di kawasan sempadan Myanmar.
Min Aung Hlaing mendakwa pilihan raya akan menjadi “kembalinya demokrasi” dan membuka peluang bagi pemberontak menentang tentera untuk perdamaian.
Bagaimanapun, pemerhati mengatakan senarai calon telah dikawal untuk memastikan kemenangan penyokong tentera. Junta juga memperkenalkan undang-undang tegas yang menghukum protes atau kritikan terhadap pilihan raya sehingga 10 tahun penjara. - AFP