fb fb fb fb fb

Somalia kembali mengundi selepas hampir 60 tahun

FOTO AFP

MOGADISHU, 26 Disember -Rakyat Somalia keluar mengundi dalam pilihan raya tempatan yang pertama di wilayah Mogadishu dalam tempoh hampir 60 tahun meskipun berdepan kebimbangan keselamatan serta boikot oleh pemimpin pembangkang.

Pilihan raya itu dilihat sebagai ujian penting menjelang pilihan raya presiden 2026, ketika negara Afrika Timur itu masih bergelut untuk keluar daripada konflik dan ketidakstabilan pemberontakan serta bencana alam.

Sejak awal pagi, kelihatan barisan panjang pengundi di beberapa pusat mengundi, namun jumlah kehadiran dilaporkan menurun dengan ketara menjelang awal petang, menurut pemerhatian wartawan AFP.

“Ini hari yang besar,” kata Guhad Ali, 37, sambil menunjukkan jarinya yang berdakwat sebagai bukti beliau telah mengundi.

Hak mengundi secara sejagat dimansuhkan selepas Siad Barre mengambil alih kuasa pada 1969.

Sejak kejatuhan pemerintahan autoritariannya pada 1991, sistem politik Somalia berasaskan struktur puak.

Kerajaan memaklumkan lebih 10,000 anggota keselamatan dikerahkan di jalan-jalan sekitar Mogadishu bagi menjamin keselamatan pengundian. Manakala pihak berkuasa penerbangan awam mengumumkan penutupan lapangan terbang utama negara itu sepanjang hari pengundian.

Menurut badan pilihan raya, lebih 1,600 calon bertanding bagi merebut 390 kerusi majlis tempatan di wilayah Banadir di tenggara negara itu, yang merangkumi Mogadishu.

Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud, menyokong pengenalan semula pilihan raya secara terus dan menyifatkannya sebagai “masa depan rakyat Somalia”.

Bagaimanapun, undian tersebut diboikot oleh gabungan pembangkang Somali Future.

Manakala beberapa negeri persekutuan menolak langkah itu dengan mendakwa ia bertujuan mengukuhkan kuasa di tangan kerajaan pusat di Mogadishu.

Bekas Perdana Menteri, Hassan Ali Kheire, yang juga anggota Somali Future, berkata gabungan itu percaya kerajaan telah mengatur pilihan raya berkenaan untuk melanjutkan tempoh pentadbiran presiden sedia ada.

Meskipun pilihan raya secara terus dimansuhkan hampir enam dekad lalu, sistem itu telah diperkenalkan semula di wilayah Somaliland di utara Somalia, yang mengisytiharkan kemerdekaan pada 1991 tetapi tidak diiktiraf antarabangsa.

Negeri separa autonomi, Puntland pula mengadakan pilihan raya tempatan secara terus pada 2023, namun kembali kepada sistem lama bagi pilihan raya tempatan dan wilayah pada Januari 2025.

Pilihan raya di Mogadishu itu sebelum ini ditangguhkan sebanyak tiga kali pada tahun ini sebelum akhirnya dilaksanakan pada Khamis.

Ketegangan politik dijangka meningkat menjelang pilihan raya nasional tahun depan, apabila mandat Parlimen tamat pada April dan tempoh jawatan presiden berakhir pada Mei.

Pada September lalu, kumpulan pemikir International Crisis Group memberi amaran bahawa usaha kerajaan menggantikan sistem undian tidak langsung berasaskan puak dengan pilihan raya secara terus berpotensi “menjerumuskan negara kembali ke kancah kekacauan” sekiranya pemimpin gagal mencapai kata sepakat. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD