DAMSYIK, 26 Disember - Ketua Bank Pusat Syria pada Khamis mengumumkan bahawa mata wang negara itu akan mula digantikan dengan versi baharu bermula 1 Januari 2026.
Penggantian mata wang berkenaan merupakan sebagai sebahagian usaha pihak berkuasa baharu Syria untuk melancarkan semula ekonomi selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad tahun lalu.
Antara cabaran terbesar kerajaan baharu berkenaan adalah memperbaiki kedudukan pound Syria dan rancangan untuk membuang dua sifar serta mencetak wang kertas baharu selepas Assad digulingkan.
Beberapa denominasi wang kertas sedia ada ketika ini masih memaparkan imej Presiden terdahulu iaitu Bashar al-Assad serta bapanya, Hafez al-Assad, yang kedua-duanya memerintah Syria selama beberapa dekad.
Ketua Bank Pusat Syria, Abdul Qadir al-Hasriya, berkata dalam satu kenyataan bahawa “1 Januari 2026 merupakan tarikh permulaan proses penggantian mata wang” berkenaan.
Beliau berkata, maklumat terperinci mengenai kaedah pelaksanaan proses itu akan diumumkan dalam satu sidang media yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.
Menurut Hasriya, mata wang Syria yang baharu itu menjadi “simbol kedaulatan kewangan selepas pembebasan” serta merupakan “langkah tegas ke arah kestabilan dan pemulihan ekonomi”.
Sejak tercetusnya perang saudara Syria pada 2011, nilai pound Syria menjunam daripada sekitar 50 kepada kira-kira 10,000 hingga 11,000 berbanding dolar Amerika Syarikat, menyebabkan rakyat terpaksa membawa sejumlah besar wang tunai untuk keperluan asas seperti membeli barangan runcit.
Hasriya berkata langkah menggantikan mata wang itu dibuat pada saat yang penting, mencerminkan permulaan era ekonomi dan kewangan baharu” bagi negara itu.
Perkembangan tersebut berlaku ketika Amerika Syarikat mengumumkan pemansuhan kekal sekatan yang dikenali sebagai sekatan Caesar bulan ini, sekali gus membuka laluan kepada kemasukan semula pelaburan asing ke Syria selepas bertahun-tahun terasing secara ekonomi.
Pada Ogos lalu, Hasriya berkata Syria akan menukar mata wangnya dengan membuang dua sifar, sambil menegaskan langkah itu “tidak akan menjejaskan nilai mata wang”.
Beliau menjelaskan wang kertas baharu hanya akan menggantikan wang lama bagi mengelakkan tekanan inflasi tambahan, ketika negara itu masih bergelut dengan kenaikan harga mendadak susulan konflik berpanjangan, dengan Bank Pusat bercadang mencetak enam denominasi baharu wang kertas. - AFP