fb fb fb fb fb

Kepimpinan baharu Syria runding kerjasama ketenteraan dengan Rusia

Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov / REUTERS

DAMSYIK, 26 Disember - Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Syria mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Selasa sempena lawatan rasmi ke Moscow, dengan perbincangan tertumpu kepada kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara, menurut media rasmi Syria.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan terbaharu oleh kepimpinan baharu Syria ke Rusia sejak menggulingkan pemerintah lama yang juga sekutu Moscow, Bashar al-Assad, pada Disember lalu.

Rusia telah memberi perlindungan kepada bekas pemimpin itu serta keluarganya sejak melarikan diri Disember tahun lepas.

Menurut agensi berita rasmi Syria, SANA, pertemuan itu melibatkan Menteri Luar, Asaad al-Shaibani, Menteri Pertahanan, Murhaf Abu Qasra dan Presiden Putin, dengan perbincangan meliputi isu politik, ketenteraan dan ekonomi yang menjadi kepentingan bersama.

Antara fokus utama termasuk pemodenan peralatan ketenteraan, pemindahan kepakaran teknikal serta kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), yang disifatkan penting bagi memperkukuh sistem pertahanan negara serta menyokong keselamatan dan kestabilan Syria dan rantau ini.

Rusia sebelum ini merupakan sekutu utama Bashar al-Assad sepanjang hampir 14 tahun perang saudara Syria, dengan sokongan ketenteraan Moscow memainkan peranan penting mengekalkan kuasa kerajaan Assad, termasuk melalui serangan udara ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan pemberontak.

Selain isu ketenteraan, perbincangan pada Selasa itu turut menyentuh prospek memperluas kerjasama ekonomi dan perdagangan, termasuk sokongan terhadap projek pembinaan semula serta usaha menggalakkan pelaburan di Syria.

Meskipun Bashar al-Assad kini berada di Rusia, Moscow dilihat berusaha mengekalkan hubungan baik dengan pihak berkuasa baharu Syria, khususnya bagi memastikan kesinambungan perjanjian berkaitan pangkalan udara Hmeimim dan pangkalan tentera laut Tartus di pesisir Mediterranean, yang masih dikendalikan oleh Rusia. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD